Home Berita PAS Terengganu

Sultan Terengganu Rasmi Mayang Mall

8
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan kompleks beli-belah Mayang Mall bertempat di Dewan Bankuet Aras 5, Mayang Mall, pagi tadi.

Berangkat sama, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku  Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka-paduka anakanda.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), Yang Mulia Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda.

Usai majlis, Sultan Mizan bersama Sultanah Nur Zahirah, Raja Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail serta paduka-paduka anakanda berkenan untuk meninjau sekitar kompleks beli-belah itu.

Bangunan yang mampu memuatkan 308 lot kedai dengan berkeluasan sebanyak 1.66 juta kaki persegi itu merupakan pusat beli-belah kedua terbesar di Terengganu, menjadi mercu tanda pembangunan yang semakin pesat di negeri tersebut.

Dato’ Seri Arshad berkata,  perasmian pada hari ini merupakan tanda pelaksanaan strategik PHB di Terengganu.

“Kuala Terengganu dipilih sebagai destinasi pertama PHB di Pantai Timur berdasarkan potensi besarnya dalam sektor pelancongan, perdagangan dan perkhidmatan.

“Kedudukan geografinya yang strategik, kemudahan infrastruktur yang serba lengkap serta bekalan modal insan yang kukuh, Kuala Terengganu mampu menjadi hab ekonomi baharu Pantai Timur.

Beliau berkata demikian ketika sembah ucapan pada majlis perasmian kompleks berkenaan, di sini, hari ini.

Tambah beliau, Mayang Mall merupakan pelaburan pemangkin utama oleh PHB di Terengganu menerusi kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri dan rakan strategik tempatan.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (Kanan) berkenan menyempurnakan gimik perasmian diiringi Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), Yang Mulia Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda (Kiri)

“Hasil hubungan baik bersama Kerajaan Negeri dan rakan strategik tempatan, PHB kini sedang meneroka peluang pelaburan pembangunan hartanah baharu di negeri ini, khususnya dalam sektor kesihatan dan pendidikan.

“Lebih membanggakan, Mayang Mall menjadi lokasi cawangan keempat SOGO di Malaysia dan yang pertama di Pantai Timur. Cawangan ini telah memulakan operasinya di sini sejak Disember 2024.

“Kehadiran SOGO, diikuti jenama-jenama terkemuka antarabangsa dan tempatan yang kami bawa khas untuk kepelbagaian pilihan serta pengalaman membeli-belah yang lancar buat para pengunjung Mayang Mall,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi PHB juga menekankan potensi Mayang Mall untuk menjadi pengganda ekonomi yang akan memberi manfaat kepada masyarakat negeri tersebut.

“Ia termasuk dari segi mewujudkan peluang pekerjaan dan penawaran platform kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan pasaran mereka di dalam Mayang Mall itu sendiri,” ujarnya.