Home Berita PAS Terengganu

GLC Terengganu, EPIC Berhad catat peningkatan pendapatan, untung

7
SHARE

KUALA TERENGGANU – Anak Syarikat Kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) mencatat prestasi cemerlang bagi tahun 2024 dengan pendapatan berjumlah RM403.8 juta, peningkatan 17.4 peratus berbanding RM344 juta pada tahun sebelumnya.

Keuntungan kasar syarikat turut meningkat kepada RM164.8 juta, berbanding RM129.8 juta pada 2023, hasil kecekapan operasi dan pengurusan kos secara berhemah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, pencapaian kewangan dan kejayaan mendapatkan kontrak baharu meletakkan EPIC di landasan kukuh untuk meneruskan pertumbuhan berdaya saing dan mampan pada tahun 2025.

“Gabungan prestasi operasi, pengambilalihan strategik dan projek baharu meletakkan EPIC dalam kedudukan bersedia untuk terus menyokong ekosistem minyak dan gas negara, khususnya di Pantai Timur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-44 EPIC Berhad yang dipengerusikan oleh Pengarah EPIC, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim, mewakili Pengerusi EPIC, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Untuk rekod, meneruskan momentum tersebut, EPIC Berhad berjaya memperoleh dua kontrak utama daripada PETRONAS.

Kontrak pertama adalah bagi penyediaan perkhidmatan Penyelenggaraan, Pentauliahan dan Ubah Suai (MCM & HUC) Pan Malaysia untuk Pakej A2 – Aset Gas Semenanjung Malaysia dengan tempoh perjanjian selama 5+3+2 tahun.

Kontrak kedua pula melibatkan pelantikan sebagai kontraktor panel kerja pembinaan dan ubah suai (CMW) bagi unit operasi hiliran PETRONAS di tiga wilayah utama iaitu Pantai Timur, Pantai Barat dan Selatan, bagi tempoh 3+1+1 tahun.