MARANG – Menteri Kesihatan dilapor telah memadam gambar privasi berkait lawatan beliau terhadap Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Unit Rawatan Rapi Jantung (CCU), Institut Jantung Negara (IJN) selepas menerima kritikan berhubung pelanggaran privasi pesakit dan keluarga.
Semakan TRDI.my setakat jam 9.20 malam ini mendapati gambar berkenaan, yang dimuat naik melalui akaun rasmi Facebook Dr. Dzulkefly Ahmad petang tadi, telah dipadamkan daripada tatapan umum.
Terdahulu, tindakan berkongsi gambar tersebut mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan ahli keluarga dan orang ramai yang menyifatkannya sebagai tidak sensitif terhadap privasi pesakit yang sedang menjalani rawatan kritikal.
Pihak keluarga Presiden PAS itu turut menyatakan rasa kecewa dengan penyebaran gambar tersebut yang dianggap melanggar etika ziarah dan tatacara hospital.
Gambar berkenaan memaparkan Menteri berdiri di sisi katil pesakit dalam wad CCU, ruang yang lazimnya memerlukan kawalan ketat dari segi lawatan dan dokumentasi bergambar.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak kementerian berhubung pemadaman gambar tersebut.