Home Berita PAS Terengganu

EPIC Berhad, HRD Corp jayakan National Training Week (NTW) 2025

8
SHARE

KEMAMAN – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) dengan kerjasama Human Resource Development Corporation (HRD Corp) bakal menjayakan Minggu Latihan Kebangsaan 2025 atau National Training Week 2025 (“NTW 2025”) peringkat Negeri Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, EPIC Berhad, Dr. Ts.Muhtar Suhaili, berkata , pihaknya telah merangka pelbagai pengisian bagi menyemarakkan semangat pembelajaran sepanjang hayat, termasuk Learn-A-Thon Fun Run, Latihan Berimpak Tinggi (High Impact Training) dan Minggu Sumber Manusia 2025 (Human Resources Week 2025 – “HR Week 2025”).

Katanya, penyertaan EPIC Berhad dalam penganjuran NTW 2025 adalah manifestasi komitmen syarikat dalam memperkasa modal insan secara menyeluruh, sejajar dengan keperluan industri serta cabaran pasaran kerja masa kini.

“EPIC Berhad cukup berbesar hati kerana diberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada NTW 2025 peringkat Wilayah Pantai Timur kerana ia mengangkat potensi dan peranan syarikat dalam memperkasa agenda pembangunan modal insan secara menyeluruh dan berimpak tinggi.

“Selain itu, selaras dengan aspirasi yang ingin dicapai melalui NTW, EPIC Berhad turut menjalankan sesi perkongsian dan latihan berimpak tinggi meliputi pelbagai topik relevan termasuk keselamatan siber, kecerdasan buatan, pengurusan kewangan peribadi, etika dan imej professional serta pengurusan kendiri, kesemuanya bertujuan untuk memperlengkapkan warga kerja dengan kemahiran semasa dan nilai tambah bagi menghadapi cabaran dunia pekerjaan,” ujarnya.

Terdahulu Majlis Pelancaran Latihan Berimpak Tinggi berlangsung di premis operasi EPIC Berhad di Teluk Kalong, Kemaman, telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, mewakili YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat.

Tambah  beliau, acara pembuka tirai Learn-A-Thon Fun Run yang dianjurkan bersama HRD Corp Sabtu lalu telah berjaya menghimpunkan lebih 1,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Kolaborasi strategik antara EPIC Berhad dan HRD Corp ini jelas memperkukuh komitmen kedua-dua pihak terhadap pembangunan bakat tempatan, di samping mewujudkan ekosistem pembelajaran yang mampan, dinamik dan inklusif,”katanya.