Home Berita PAS Terengganu

Tenaga Baharu : Persidangan East Coast Energy 2025 tarik 800 pemain industri

21
SHARE

KUALA TERENGGANU – Negeri Terengganu bakal menjadi tumpuan dunia apabila lebih 800 delegasi dari pelbagai latar belakang termasuk pembuat dasar, pemimpin industri, penyedia teknologi serta pendokong kelestarian berkumpul dalam Persidangan dan Pameran Tenaga Pantai Timur (ECE 2025) yang berlangsung 23 hingga 24 Jun nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad). Dr.Ts Muhtar Suhaili berkata, berkata penyertaan besar itu jelas menunjukkan keyakinan terhadap peranan strategik Terengganu sebagai pemacu tenaga masa depan negara.

“ECE 2025 adalah platform utama yang membuka jalan kepada pelaburan, perkongsian ilmu dan kerjasama strategik.

“Kehadiran lebih 800 delegasi menunjukkan bahawa dunia luar melihat Terengganu sebagai rakan kongsi penting dalam transformasi tenaga Malaysia,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman.

Jelas beliau, empat objektif utama digaris bagi menjadikan ECE 2025 bukan sahaja relevan kepada industri tetapi juga berimpak tinggi kepada rakyat.

“Antara objektifnya ialah  mengukuhkan dialog antara kerajaan, industri dan komuniti dalam isu tenaga, memastikan komuniti tempatan turut serta dalam proses pembangunan tenaga.

“Selain itu ECE juga berbincang tentang peranan memaksimumkan peluang untuk PKS, belia dan usahawan agar pembangunan tidak bersifat eksklusif selain menekankan isu peralihan tenaga, kelestarian dan pendigitalan sebagai asas masa depan sektor tenaga,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Naib Presiden Kanan Pelaksanaan Projek dan Teknologi PETRONAS, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof, turut menyuarakan sokongan penuh terhadap platform ini.

“Kami percaya Pantai Timur, khususnya Terengganu, memainkan peranan penting dalam landskap tenaga negara. PETRONAS komited untuk terus memupuk inovasi dan kerjasama demi masa depan yang mampan,” katanya.