HULU TERENGGGANU – Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Manir terus membuktikan kecaknaan terhadap generasi muda dengan penganjuran Program Aspirasi Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memastikan masa depan mereka dengan lebih terjamin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun berkata, penganjuran program yang menghimpunkan pelbagai agensi pendidikan dan latihan kemahiran itu merupakan salah satu inisiatif berterusan PKM Manir dalam memastikan anak-anak muda tidak tercicir dalam membuat pilihan selepas tamat persekolahan.
“Kami mahu anak muda kita jelas dengan hala tuju selepas SPM. Ramai yang berbakat tetapi tidak tahu pilihan yang ada. Jadi, kami bawakan agensi terus kepada mereka agar tiada lagi alasan untuk teraba-raba dalam membuat keputusan,” ujar beliau.
Program yang berlangsung di Dewan Al-KAWTHAR Kubang Lembek itu berjaya menarik penyertaan seramai 60 orang peserta lepasan SPM serta berpeluang mendapatkan informasi secara langsung daripada agensi-agensi yang dijemput khas oleh Pejabat ADUN.
Antara agensi yang terlibat termasuklah antaranya Giat Mara, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), University College TATI (UC TATI), Akademi Binaan Malaysia (ABM), ILP Kolej Komuniti dan banyak lagi, yang menawarkan pelbagai laluan pendidikan, latihan kemahiran, serta peluang kerjaya.
Setiap agensi turut berpeluang menyampaikan taklimat ringkas kepada peserta, memperkenalkan kursus, kelebihan dan syarat kemasukan membolehkan para peserta membuat pilihan yang lebih bijak dan sesuai dengan minat masing-masing.
Lebih menarik, program turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah sebagai penghargaan kepada peserta yang hadir, termasuk hadiah antaranya yang paling utama sebuah motosikal, telefon bimbit, cincin emas dan lain-lain lagi.
Tambah Hilmi, PKM Manir turut merancang untuk menganjurkan lebih banyak program seumpama ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa pendidikan dan pembangunan belia selaras keinginan kerajaan negeri Terengganu ingin melahirkan Pembangunan Modal Insan secara holistic dan komprehensif.