KUALA TERENGGANU – Terengganu bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi sebuah negeri yang menawarkan pengalaman unik kepada pelancong untuk merasai keindahan hidup bersyariat, berteraskan nilai Islam, budaya dan adab ketimuran.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, dasar pelancongan negeri telah lama digariskan sebagai pelancongan mesra Muslim (Islamic Tourism), selari dengan komposisi lebih 95 peratus penduduk negeri yang beragama Islam.
“Sejak awal lagi telah menetapkan dasar pelancongan negeri sebagai Islamic Tourism atau pelancongan mesra Muslim.
“Melalui pendekatan ini, pelbagai aspek keagamaan dan nilai-nilai murni Islam diketengahkan dalam sektor pelancongan. Antaranya ialah pematuhan kepada SOP pemakaian menepati syariah dalam semua persembahan, nyanyian, filem, aktiviti sukan dan hiburan yang berkaitan dengan industri pelancongan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas program Wanita Terengganu Berinformasi di Dewan PPR Hiliran, pada hari ini.
Menurutnya, antara garis panduan yang diterapkan termasuk pematuhan kepada kod pemakaian patuh syariah dalam kalangan peserta muslim, manakala pelancong bukan Islam pula diminta berpakaian sopan dan menghormati norma masyarakat setempat.
.
“Apa yang kita mahu tonjolkan ialah keindahan hidup bersyariat. Pelancong datang ke Terengganu bukan untuk mabuk atau berhibur secara melampau, tetapi untuk menikmati keindahan semula jadi seperti Tasik Kenyir, aktiviti menyelam skuba dan pengalaman budaya Islamik,” ujarnya.
Beliau berkata, garis panduan ini telah dipersetujui oleh ramai penerbit filem termasuk dari luar negara seperti China, Dato’ Nain Shie Hue yang menyambut baik hasrat kerajaan negeri telah bersetuju dengan garis panduan yang ditetapkan.
“Ramai penerbit memilih Terengganu sebagai lokasi penggambaran kerana keindahan alam dan budaya serta keharmonian dasar pelancongan mesra Muslim yang diamalkan,” katanya.
Jelasnya, semua persembahan di negeri ini tertakluk kepada pemantauan ketat termasuk jenis lagu, pemakaian peserta dan kandungan persembahan, sebagai sebahagian daripada pendekatan edukatif kepada masyarakat.
“Ini juga menjadi satu bentuk pendidikan masyarakat (educational approach) secara berperingkat, khususnya kepada pelancong bukan Islam. Namun, perlu diakui bahawa di Terengganu sendiri, wanita Muslim hampir 99 peratus memakai tudung, dan ini telah membentuk budaya setempat yang kuat dan sukar digugat.
“Pendekatan ini bukan mudah, namun inilah keindahan hidup bersyariat yang cuba dibudayakan. Kita mahu pelancong datang ke Terengganu hadir dengan akhlak baik, tidak mabuk, tidak liar, dan bukan untuk aktiviti tidak bermoral.
“Mereka datang untuk menikmati keindahan semula jadi seperti Tasik Kenyir, aktiviti menyelam skuba dan keindahan budaya,” kata Razali.
Beliau menambah, sekiranya mereka mencari aktiviti yang melampaui batas, mungkin negara lain lebih sesuai.
“Di Terengganu, hotel-hotel telah dimaklumkan untuk mengingatkan pelancong agar menjaga adab dan pakaian, termasuk pakaian mandi yang sopan. Ini bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Setakat ini, berdasarkan statistik yang ada, kejadian jenayah terhadap pelancong seperti rogol atau cabul belum pernah direkodkan. Kes-kes berlaku bukan melibatkan pelancong,” tambahnya.
Justeru itu, beliau berharap dasar itu akan terus dilaksanakan dengan baik bagi menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan Islamik unggul di rantau ini, bukan sahaja menarik pelancong tetapi turut membentuk masyarakat berakhlak dan berbudaya tinggi.