BESUT – “Prestasi PAS sekarang adalah antara yang terbaik, kenapa perlu tukar Presiden,” itu lontaran suara Naib Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ditanya tentang kewajaran Tan Sri Abdul Hadi Awang berundur dari jawatan presiden parti berkenaan berikutan keadaan kesihatannya.
Menurut Dr. Samsuri, buah fikir dan kepimpinan Ahli Parlimen Marang itu masih diperlukan.
“Tidak timbul persoalan itu (undur diri), semua ahli di pelbagai peringkat semuanya mendoakan kesihatan Tuan Guru (Abdul Hadi) supaya dapat terus kembali seperti biasa dan tentunya paling penting kepimpinan dan pemikiran Tuan Guru itu dapat memberi semangat kepada kami dari segi gerak kerja.
“Dalam PAS, perjuangan adalah bukan politik semata-mata tetapi mencakupi lebih daripada itu lagi.
“Tuan Guru masih sangat diperlukan, lihatlah dalam ucapan saya (sebelum ini) bahawa prestasi terbaik sehingga PAS muncul sebagai sebuah parti yang paling besar dalam negara memenangi kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen iaitu hampir 200 orang adalah di zaman Tuan Guru, mengapa pula apabila berada dalam keadaan cemerlang kita mahu memikirkan benda yang bukan-bukan pula?.
“Tentulah kita mengharapkan suapaya momentum yang sedia ada dibawa oleh Tuan Guru ini dapat diteruskan,” katanya ketika ditemui pemberita dalam sesi ziarah bertemu keluarga Muhammad Mustaqim Rosde, di Kampung Telaga Nibong, Jerteh hari ini.
Mustaqim merupakan salah seorang daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam tragedi nahas bas sewa khas di Gerik, Perak, 9 Jun lalu.
Dr Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu turut menziarahi keluarga 14 pelajar yang turut terkorban dalam peristiwa itu.
“Ziarah ini sebagaimana sedia maklum adalah kesinambungan santunan daripada kerajaan negeri bermula dari Gerik lalu.
“Semua pihak ada peranan masing-masing. Ini adalah tempoh yang sangat penting dalam dua minggu ini bagi meredakan tekanan psikologi keluarga dan melihat di mana kerajaan negeri boleh memberi bantuan kepada semua keluarga yang terlibat.
“(Setakat ini), sumbangan telah selesai, ada yang disampaikan lebih awal oleh Yang Berhormat (YB) kawasan dan kita melengkapkanlah, kita juga sangat mengalu-alukan sumbangan dari pihak-pihak di luar atau mana- mana organisasi yang diharap boleh memberi satu suntikan motivasi kepada ahli keluarga,” katanya.