Home Berita PAS Terengganu

Syarikat Terengganu raih pendapatan tertinggi, untung lima tahun berturut-turut

10
SHARE

KUALA TERENGGANU – Anak Syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad mencatat pencapaian cemerlang apabila merekodkan pendapatan sebanyak RM645.6 juta bagi tahun 2024 menjadikan ia tertinggi dalam sejarah, seterusnya mengekalkan keuntungan lima tahun berturut-turut.

Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, prestasi itu sangat membanggakan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan peningkatan kos operasi.

“Daripada jumlah itu, Bahagian Penjagaan Kesihatan yang dikendalikan Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) menyumbang RM354.4 juta, dengan rangkaian lima hospital pakar dan kapasiti katil sebanyak 412 buah. Sektor ini kini menjadi aset strategik utama kepada kumpulan dan dijangka terus berkembang hasil pelaburan berterusan.

“Sementara itu, Bahagian Perladangan di bawah TDM Plantation Sdn. Bhd. mencatat pendapatan sebanyak RM291.2 juta, meningkat daripada RM261.6 juta pada tahun sebelumnya, didorong oleh harga minyak sawit mentah (CPO) yang stabil serta output pengeluaran yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, hari ini.

Menurut beliau, kejayaan itu didorong kekuatan sebenar syarikat yang terletak pada struktur organisasi mantap, pasukan pengurusan cekap, serta hala tuju perniagaan jelas dan bersepadu.

“Perkara terbaik di TDM ialah kekuatan pasukan kami yang mantap, dari peringkat tertinggi hingga ke barisan hadapan.

“Kami juga memiliki pengurusan yang efisien dalam kedua-dua sektor, perladangan dan penjagaan kesihatan, dengan pengurus ladang antara tunjang utama kejayaan syarikat,” katanya

Beliau turut menegaskan komitmen TDM untuk terus memperkemas operasi dan mencapai tahap kecekapan maksimum demi menjamin pulangan jangka panjang yang mampan.

“Kita sedang mengoptimumkan lagi pengoperasian supaya mencapai tahap maksimum.

“Pertumbuhan yang kita capai dalam bahagian healthcare telah memberi pulangan yang sangat baik kepada syarikat,” jelasnya.