KUALA TERENGGANU – Pelajar dari universiti tempatan di Terengganu bakal menikmati peluang eksklusif menyertai Young Leaders Program sempena East Coast Energy (ECE) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 23 dan 24 Jun ini di Taman Tamadun Islam (TTI), tanpa sebarang bayaran penyertaan.
Menurut Ahli Jawatankuasa Pemandu ECE 2025, Mohd Zamri Abdul Ghani, langkah menaja penyertaan pelajar ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada golongan muda terhadap topik-topik semasa berkaitan tenaga boleh baharu, industri masa hadapan serta cabaran kerjaya profesional.
“Akademik adalah satu hal, kerjaya pula satu hal yang lain. Kita mahu bantu pelajar bersedia menempuh dunia luar. Mereka akan diberi ‘coaching’ tentang penulisan CV dan pendedahan peluang pekerjaan yang sepadan dengan bidang mereka.
“Jadi, ini adalah satu peluang yang baik untuk pelajar-pelajar yang berada di universiti di Terengganu.
“Setakat hari ini, kita sudah berjaya mendapatkan pengesahan penyertaan 50 orang pelajar-pelajar daripada universiti-universiti sekitar Terengganu seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu,” katanya.

Pelajar yang terlibat juga bakal digabungkan dalam kumpulan tertentu bersama penceramah, moderator dan wakil industri sepanjang dua hari persidangan, menjadikan program ini platform rangkaian profesional yang berharga.
Program anjuran bersama kerajaan negeri dan Terengganu Petroleum Council (TPC) itu sekali gus menzahirkan komitmen penganjur untuk mendidik dan mencungkil potensi kepimpinan dalam kalangan belia negeri, seiring matlamat jangka panjang pembangunan tenaga mampan dan pembangunan sumber manusia tempatan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili juga memaklumkan penglibatan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) bagi mempromosikan kebudayaan yang boleh didapati di negeri tersebut.
“Sempena dengan ECE 2025 ini, Tourism Terengganu (JPNT) juga akan menganjurkan program yang dinamakan ‘Beautiful Terengganu’ yang akan dijalankan di dua tempat, iaitu di Pasar Payang dan juga di Taman Tamadun Islam sendiri akan ada program persembahan kebudayaan yang akan dilaksanakan oleh Tourism Terengganu.
“Bagi orang luar daripada Terengganu (peserta ECE 2025), yang datang ke negeri Terengganu boleh datang melihat sendiri budaya masyarakat negeri Terengganu melalui persembahan kebudayaan yang akan diadakan ketika majlis pembukaan, majlis penutupan dan juga semasa selingan antara program.
“Antaranya ialah seperti persembahan gamelan, persembahan tarian, kebudayaan dan lain-lain yang dianjurkan bagi memberi nilai tambah kepada persidangan ECE 2025,” jelasnya.
Persidangan julung kali diadakan itu telah berjaya meraih melebihi 700 penyertaan delegasi dari dalam serta luar negara dan akan berlangsung secara keluruhannya selama tiga hari iaitu pada 22 Jun, hari pra-persidangan dan hari persidangan penuh yang akan dijalankan pada 23 sehingga 24 Jun 2025.
