Home Berita PAS Terengganu

Serangan Israel terhadap Iran agenda lemahkan Palestin

12
SHARE

KUALA TERENGGANU – Dakwaan bahawa Iran membina bom nuklear hanyalah alasan rekaan Israel untuk menyerang negara itu, sedangkan hakikat sebenar adalah usaha tersirat bagi melemahkan satu-satunya negara yang lantang mempertahankan Palestin.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, naratif yang digembar-gemburkan oleh media barat tidak mencerminkan realiti sebenar situasi geopolitik di Asia Barat.

Menurut beliau, Iran sejak awal Revolusi 1979 lagi telah menjadikan pembebasan Palestin sebagai antara agenda utama yang menjadi tunjang kepada pembentukan Republik Islam Iran.

“Setiap tahun, Iran secara konsisten memperuntukkan dana tanpa had bagi menyokong perjuangan rakyat Palestin. Ini adalah komitmen dasar yang tidak pernah berubah,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook beliau, semalam.

Jelas beliau lagi, kekuatan sokongan Iran terhadap Palestin itulah yang menjadikan negara itu sasaran berterusan kuasa Barat dan Israel melalui pelbagai bentuk tekanan termasuk perang Iraq-Iran serta sekatan ekonomi berpanjangan.

“Namun segala usaha untuk menjatuhkan Iran gagal, malah negara itu kekal menjadi benteng utama dalam menentang penjajahan rejim zionis,” tambah beliau.

Katanya, antara kejayaan terbesar Iran dalam membina kekuatan sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana pihak adalah pembangunan teknologi roket yang tidak mempunyai had jangkauan, di mana hanya beberapa negara sahaja di dunia memiliki teknologi seumpama itu, iaitu Amerika Syarikat, Rusia dan China.

Mengulas mengenai realiti yang berlaku ketika ini, beliau yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat menjelaskan bahawa Barat sebenarnya mahu Iran tunduk kepada kehendak mereka agar tidak menjadi ancaman dan menggugat keselamatan negara haram Israel.

“Namun Iran kekal dengan prinsip pembebasan Baitulmaqdis dan menamatkan penjajahan rejim zionis Israel ke atas bumi Palestin.

“Jika Iran menurut kehendak Barat, maka nasibnya akan menjadi sama seperti negara-negara Arab lain yang hanya menjadi ‘pak turut’ dan tidak mempunyai jati diri,” tegasnya.

Tambah beliau, Israel merasakan masa yang sesuai untuk menentang Iran adalah apabila dua tahun konflik berlaku di Gaza, yang telah melemahkan Hamas dan Hizbullah, selain kerajaan Basyar al-Assad dijatuhkan dan Yaman terus diserang.

“Itulah hakikat sebenarnya. Adapun alasan-alasan lain hanyalah untuk mengaburi mata semata-mata. Bebaskan Masjid Al-Aqsa, merdekakan Palestin,” ujar beliau dengan penuh pengharapan.