KUALA NERUS – Sebanyak 47 parti politik yang berdaftar di Malaysia tidak ada yang menyamai peranan PAS dalam bidang siyasah dan dakwah.
Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Musa berkata, ini menjadikan PAS berbeza dengan parti politik yang lain.
“Berpuluh parti lain tiada dakwah dan tarbiahnya sebagaimana PAS,” jelasnya.
Mantan Setiausaha Agung BN itu berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kuala Nerus, di Kompleks Tarbiyah at-Taqwa (KOMTAQ), Kuala Nerus, Terengganu di sini, semalam.
Menurutnya, PAS bukan hanya sekarang parti siyasah, tetapi yang menjadi kekuatannya ialah dakwah dan tarbiah berjalan serentak.
“Maka kita kena jaga dan pertahankan serta wala dengan kepimpinan,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa PAS kini berada dalam fasa pasca kemenangan dan telah muncul sebagai parti terbesar di negara ini, termasuk Parlimen.
“Tingkatkan iltizam perjuangan, perbaharui tahap kefahaman dan komitmen terhadap perjuangan serta ambillah panduan daripada pucuk pimpinan termasuk dalam ucapan dasar Tuan Guru Presiden,” kata Annuar Musa.
Dalam pada itu katanya, pintu PAS sentiasa terbuka untuk disertai oleh sesiapa termasuk ahli Umno.
“Maka kita perlu mengajak ahli-ahli Umno ke arah PAS.
“Tuan Guru mengingatkan kita semua matlmat perjuangan, mudah-mudahan dalam Mesyuarat Agung PAS dapat kita perkasakan,” ujarnya.
Beliau turut menyeru agar setiap ahli dan akar umbi berkerja keras dalam mengekalkan kekuatan bagi mengekalkan kemenangan.
“Keterbukaan PAS sebagai parti yang inklusif dan mesti boleh dilihat sebagai orang yang boleh menyelami dan menyelesaikan rakyat,” tambah beliau lagi.