Home Berita PAS Terengganu

Ahmad Amzad desak siasatan khas kes Yusoff Rawther

11
SHARE

KUALA TERENGGANU – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim menggesa kerajaan menubuhkan satu badan siasatan khas dan bebas bagi menyiasat sepenuhnya kes pendakwaan terhadap Muhammed Yusoff Rawther yang didakwa menjadi mangsa konspirasi terancang.

Gesaan ini dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang membebaskan Yusoff daripada pertuduhan mengedar 305 gram kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, tanpa perlu membela diri.

Pertuduhan yang membawa hukuman mati mandatori itu kini terbukti tidak berasas selepas mahkamah mendapati tiada bukti sahih yang mengaitkannya dengan barang-barang kes.

“Pembebasan ini menunjukkan bahawa Yusoff adalah mangsa konspirasi jahat yang dirancang dengan licik. Penahanan, pendakwaan dan pemenjaraan selama sembilan bulan sepuluh hari adalah hasil daripada manipulasi kuasa oleh pihak yang sanggup memperalat sistem keadilan untuk mencapai agenda tersembunyi,” tegas beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Amzad mempersoalkan motif sebenar di sebalik pendakwaan tersebut dan menuntut agar dalang serta pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

“Persoalannya sekarang, siapakah yang merancang tuduhan ini? Apa kepentingan yang cuba dilindungi? Dan kenapa sanggup mengorbankan masa depan serta nyawa seorang individu tidak bersalah?,” soalnya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap keyakinan rakyat kepada sistem keadilan negara yang boleh terjejas jika insiden sebegini tidak disiasat secara menyeluruh.

“Kejadian ini membuka ruang kepada kebimbangan wujudnya penyalahgunaan kuasa dan campur tangan dalam sistem keadilan jenayah. Ia menggugat asas kepercayaan rakyat terhadap integriti dan kebebasan institusi perundangan negara,” katanya.

Justeru, beliau mendesak agar kerajaan segera menubuhkan sebuah badan siasatan bebas dan telus yang diberi kuasa menyeluruh untuk meneliti setiap aspek kes, termasuk proses siasatan, keputusan pendakwaan, serta kemungkinan wujudnya unsur manipulasi atau pengaruh luar.

“Pembebasan ini bukan penamat, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada pencarian keadilan yang lebih besar. Rakyat berhak mengetahui kebenaran,” tegas beliau.