Home Berita PAS Terengganu

Hotel Primula anjur tahlil ‘hadiah’ buat mangsa nahas Bas UPSI

15
SHARE

KUALA TERENGGANU – Primula Beach Hotel menganjurkan Majlis Tahlil Perdana  sebagai penghormatan terakhir kepada 15 Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  yang terkorban dalam nahas bas di Jalan Raya Timur–Barat, Gerik awal pagi Isnin.

Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata walaupun tidak mengenali mangsa nahas secara peribadi, namun peristiwa itu memberi kesan besar kepada seluruh Malaysia terutama Terengganu.

Menurutnya, pemergian mereka semua adalah satu kehilangan besar kepada negara terutama dalam bidang pendidikan.

“Majlis ini merupakan hadiah doa daripada kami buat para syuhada yang terkorban dan pada masa sama, kita ingatkan diri kita bersedia andai tiba masanya nanti.

“Kami mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan bersemadi bersama orang yang beriman dan beramal soleh serta ahli keluarga tabah berdepan ujian yang amat berat ini.

“Tahlil ini untuk yang mereka yang tercedera juga. Mohon agar cepat sembuh dan kembali belajar seperti sedia kala,” ujar beliau.

Lebih 300 orang menghadiri majlis Tahlil tersebut terdiri dari Ahli Lembaga Pengarah hotel, Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Bariah, Madrasah Seberang Takir Tuan Chik pihak masjid serta kakitangan Primula Beach Hotel.

Tambah Suaibah, majlis itu bukan sahaja sebagai penghormatan, malah menjadi ruang untuk semua menzahirkan rasa kehilangan.

Isnin lalu negara dikejutkan dengan kejadian menyayat hati itu yang turut menyebabkan 33 lagi mangsa cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.

Bas disewa khas oleh pelajar itu berlepas dari Jertih, Terengganu pada 9 malam Ahad dan sedang dalam perjalanan ke kampus di Tanjung Malim, Perak sebelum terlibat dalam kemalangan berkenaan.