Oleh : Muhammad Abdul Fateh
Foto : Muhammad Nadim Al-Fattah
WANGSA MAJU, 9 Jun 2025 — PAS Wilayah Persekutuan hari ini menyampaikan sumbangan kepada waris Allahyarham Muhammad Aizat Amni bin Sobri, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju dan juga Pegawai Media sepenuh masa PAS Wilayah Persekutuan yang telah kembali ke rahmatullah baru-baru ini.
Penyampaian sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Wilayah Persekutuan, Haji Baker bersama beberapa ahli jawatankuasa PAS Kawasan Wangsa Maju dalam satu kunjungan ziarah ke kediaman keluarga Allahyarham.
Menurut Haji Baker, sumbangan ini adalah tanda penghargaan dan kasih sayang atas jasa serta pengorbanan besar Allahyarham dalam menggerakkan gerak kerja media dan penerangan PAS di peringkat Wilayah Persekutuan.
“Allahyarham Aizat Amni merupakan antara tenaga penting dalam pasukan media PAS Wilayah Persekutuan. Beliau bukan sahaja komited dalam tugasan harian, malah sentiasa hadir membantu pelbagai program parti secara sukarela,” katanya.
Sumbangan ini juga bertujuan meringankan beban keluarga Allahyarham serta menyampaikan mesej bahawa perjuangan beliau dihargai dan dikenang.
Turut hadir dalam ziarah tersebut ialah beberapa Ketua Pemuda PAS Wangsa Maju, Beyhaqi Ramli yang pernah bekerjasama rapat dengan Allahyarham dalam urusan penerangan dan dakwah digital.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah.