KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri kini menggalakkan bakal penternak ayam komersial untuk menggunakan sistem reban tertutup sebagai langkah memodenkan industri penternakan ayam di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada transformasi sektor ternakan ayam di negeri itu.
“Antara kelebihan reban tertutup ialah kawalan persekitaran yang sihat tanpa pencemaran bau dan lalat berbanding dengan sistem reban terbuka.
“Proses tumbesaran ayam juga lebih cepat,” katanya dalam satu kenyataan yang telah dikeluarkan melalui hantaran media sosialnya baru-baru ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa pembinaan reban ayam baharu menggunakan sistem terbuka tidak lagi akan diberikan kelulusan, dan kerajaan negeri menggalakkan para pengusaha sedia ada untuk beralih kepada sistem reban tertutup.
“Adapun bagi reban terbuka sedia ada, kerajaan negeri menggalakkan para pengusaha melakukan transformasi kepada sistem reban tertutup secara berperingkat.
“Kita belum menetapkan suatu tempoh masa untuk perubahan ini dilakukan kerana memahami bahawa proses transformasi reban terbuka kepada reban tertutup akan melibatkan kos yang besar,” ujarnya.
Dalam pada itu, pihaknya juga mempunyai perancangan untuk membina beberapa lagi fasiliti ternakan tertutup untuk diserahkan kepada pengusaha tempatan yang memenuhi syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan.
Mengikuti perkembangan berkaitan, reban ayam Jabatan Veterinar Terengganu berkonsepkan reban tertutup di Baruh Masin, Besut dengan kos baik pulih sebanyak RM700 ribu kini telah mula beroperasi sepenuhnya sejak bulan lepas dan dijangkakan penuaian hasil pertama pada pertengahan bulan ini.