Home Berita PAS Pahang

Gilap Generasi Z sebagai pelapis kepimpinan

56
SHARE

Oleh: Kasdi Kosmin

Indera Mahkota, 27 Mei – Ahli Dewan Negeri Beserah, YB Dato’ Haji Andansura Rabu menegaskan pentingnya mengenal dengan lebih dekat karakter dan kecenderungan Generasi Z sebagai langkah awal mendekati jiwa mereka serta menyampaikan mesej perjuangan Islam secara berkesan.

Beliau berkata, pendekatan dakwah dan tarbiah terhadap generasi muda perlu selari dengan perubahan zaman agar mesej perjuangan Islam terus relevan dan diterima dengan baik.

“Kita tak boleh guna pendekatan lama untuk generasi yang cara fikir dan gaya hidupnya berbeza. Kita kena faham mereka dulu, baru kita boleh sampaikan perjuangan dengan cara yang masuk ke hati.

“Dengan kefahaman yang betul, mereka akan menjadi aset penting untuk menggerakkan dakwah dan kebajikan masyarakat, serta menjadi langkah penting ke arah memperkukuh penglibatan anak muda dalam perjuangan Islam,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Program Brainstorming Pemerkasaan Pemuda anjuran PAS Kawasan Indera Mahkota yang berlangsung di sini kelmarin.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Kawasan Indera Mahkota, Wan Ridhwan Abdullah berkata, program ini merupakan ruang brainstorming dan perbincangan strategi bagi mendekati golongan muda secara lebih efektif.

“Generasi muda hari ini memerlukan pendekatan yang segar, realistik dan tersusun,” ujar beliau.

Program ini dihadiri lebih 60 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat kepimpinan termasuk dari Dewan Pemuda, Dewan Ulamak, Dewan Muslimat, serta ketua dan setiausaha cawangan di seluruh Parlimen Indera Mahkota. Turut hadir, Penyelaras DUN Semambu, Ustaz Zulfadli Zakaria.