Home Berita PAS Terengganu

Kerja bukan hanya untuk gaji, imbuhan

13
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerja yang dibuat bukan hanya untuk gaji atau imbuhan semata-mata, tetapi juga mesti diambil kita soal dosa dan pahala kerana wang yang diterima setiap hujung bulan akan digunakan untuk menyara hidup keluarga.

Bendahari PAS Terengganu, YB Dato Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, mengingatkan bahawa setiap pekerjaan adalah amanah daripada Allah SWT, dan keberkatan hanya akan diperoleh jika niat bekerja adalah kerana Allah.

“Kita kena ingat, gaji itu takkan pernah cukup.

“Tapi ada satu perkara yang Allah janjikan yang membuat kita rasa cukup iaitu pahala,” tegasnya dalam sesi pertemuan usrah bulanan bersama warga kerja Urus Setia Penerangan Darul Iman pagi semalam.

Beliau yang juga Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri (DUN) turut menasihatkan agar semua pekerja sentiasa memperbetulkan niat dalam bekerja kerana setiap tugas yang dilakukan haruslah dengan niat untuk mendapatkan pahala dan mengelakkan dosa.

“Kita kena letak dalam diri bahawa ada dua gaji, satu gaji dunia, satu lagi di akhirat, iaitu pahala.

“Tapi syaratnya, kena ikhlas dan pikul amanah dengan sebaik-baiknya,” jelasnya.

Beliau turut menekankan pentingnya untuk menjaga amanah pada waktu kerja justeru setiap detik dilalui adalah tanggungjawab agama, bermula awal waktu bekerja sehingga pulang.

“Kita boleh berbohong kepada manusia, tetapi kita tak boleh berbohong kepada Allah.

“Kita boleh beri bermacam-macam alasan kepada manusia, tetapi kita tidak boleh beri alasan kepada Allah,” katanya lagi.