KUALA NERUS – Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman menyifatkan, geran Dana Usahawan & Industri Mikro Terengganu (DUIT) yang diperuntukkan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dapat menyuntik semangat usahawan pemula untuk lebih fokus dalam perniagaan.
Menurutnya, DUIT bertujuan untuk membantu peniaga-peniaga kecil serta Industri Mikro melalui dua kategori bantuan iaitu Program Gerai Maju (PGM) dan Bantuan Perniagaan Peniaga Kecil (BPPK).
“Kita mencari peniaga yang bersungguh-sungguh memajukan diri dengan keupayaan kewangan yang ada.
“Jadi, kita sebagai kerajaan negeri membantu mengikut kesesuaian perniagaan yang mereka telah mulakan.
“Maknanya, kita sudah nampak usaha yang dibuat dan dengan apa yang diberikan dapat menambahkan lagi peluang dan ruang untuk mereka di luar meneruskan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan geran DUIT kepada pengusaha produk pastri, Rosnewati Jusoh di Kampung Bukit Tok Beng, di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengurus Pembangunan Pengurusan Aset & Pembiayaan YPU, Samihah Abdul Rahman.
Rosnewati atau lebih dikenali Kak Ani, menerima bantuan lima peralatan iaitu Dapur Masak, ‘Mixer’, ‘Mixer Waffle’, ‘Oven Gas’ dan ‘Freezer Sow’ dengan nilai keseluruhan sebanyak RM7,000.
Ariffin memaklumkan, dari jumlah tersebut sebanyak RM5,000 dibayar oleh YPU, jumlah maksimum bagi peruntukkan DUIT dalam kategori BPPK.
Manakala, baki RM2,000 ditambah oleh Kak Ani sendiri.
“Dengan peralatan yang ada ini, kita mengharapkan supaya beliau dapat meneruskan tempahannya.
“Saya yakin dengan apa yang kita beri hari ini dapat meningkatkan lagi pendapatannya,” jelasnya.