Home Berita PAS Terengganu

Permit khas candat sotong percuma, jamin keselamatan rakyat

15
SHARE

KUALA TERENGGANU  – Permit khas candat sotong yang diperkenal bertujuan menjamin keselamatan pelancong khususnya peserta mencandat sotong dan tiada sebarang bayaran permohonan akan dikenakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pengeluaran Surat Kebenaran Khas bagi aktiviti mencandat sotong dikendalikan oleh Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur (JLMWT) bagi memastikan keselamatan pelancong dan pengendalian aktiviti pelancongan marin berjalan lancar.

“Permit khas ini adalah langkah penyelarasan untuk membantu pengusaha bot mematuhi garis panduan keselamatan yang sedia demi manfaat bersama.

“Kerajaan Negeri hanya menjadi perantara dan tidak mengenakan sebarang bayaran untuk permohonan ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan dalam laman sosialnya, semalam.

Menurutnya, permit khas ini hanya diwajibkan sepanjang musim mencandat, iaitu dari April hingga Oktober, dan hanya terpakai bagi bot pesisir yang beroperasi dalam jarak 15 hingga 20 kilometer dari pantai.

“Pengusaha yang telah memiliki lesen ‘sport fishing’ tidak perlu memohon permit khas ini kerana lesen tersebut telah merangkumi kebenaran mencandat sotong secara sah,” ujarnya.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut mencadangkan penetapan zon khas mencandat sotong yang bebas daripada aktiviti pukat tunda, demi melindungi sumber marin dan memastikan kelestarian habitat mencandat.

“Pihak kami bercadang untuk membentangkan kepada Jabatan Laut Malaysia (JLM) melalui sesi libat urus berkenaan penetapan zon khas mencandat sotong dari bulan April hingga September setiap tahun,” kata Razali.

Beliau menambah, Kerajaan Negeri kini dalam perbincangan lanjut dengan JLM untuk memperincikan mekanisme pelaksanaan permit khas ini.

Justeru itu, semua pengusaha bot diseru memberikan kerjasama penuh demi menjamin keselamatan pelancong dan memastikan industri pelancongan mencandat sotong terus berkembang secara mampan.