Home Berita PAS Terengganu

Kelestarian Air : Terengganu perkukuh infrastruktur dan penguatkuasaan

20
SHARE

DUNGUN – Dalam menghadapi cabaran iklim dan tekanan terhadap sumber air, Kerajaan Negeri Terengganu komited melaksanakan dasar berimpak tinggi melalui pelaburan infrastruktur, pengurusan kawasan tadahan dan penguatkuasaan undang-undang bagi menjamin kelangsungan bekalan air bersih kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, Terengganu tidak hanya bergantung kepada retorik, sebaliknya telah menggerakkan pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memperkukuh pengurusan sumber air, termasuk pelaburan dalam infrastruktur bekalan air, pengurusan kawasan tadahan, pemuliharaan sungai serta peningkatan kecekapan sistem bekalan dan saliran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Karnival Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Taman Tasik Sura, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, Ir. Ts. Gs. Osman Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadli Rahmi Zulkifli dan ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.

Beliau turut memaklumkan bahawa semua inisiatif tersebut digerakkan secara strategik melalui Pelan Tindakan Kelestarian Alam Sekitar Terengganu, yang menekankan pendekatan lestari dan saintifik.

“Pelan ini antara lainnya memberi penekanan kepada pengurusan air secara lestari, pemantauan kualiti air dan pemuliharaan kawasan sensitif alam sekitar,” jelasnya.

Menurutnya, pendekatan ini memerlukan kolaborasi antara agensi teknikal, institusi pendidikan dan masyarakat awam bagi memastikan semua usaha berjalan secara menyeluruh dan berkesan.

Dalam aspek penguatkuasaan pula, katanya, kerajaan negeri tidak berkompromi terhadap pencemaran dan penyalahgunaan air, malah bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperkemaskan tindakan di lapangan.

“Kerajaan Negeri bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperkemaskan penguatkuasaan terhadap pencemaran sungai dan penggunaan air secara haram,” ujarnya.

Beliau menyeru agar semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjadikan pengurusan air satu agenda bersama yang merentas politik, sektor dan sempadan.