KUALA TERENGGANU – Restoran di Taman Panorama yang bermasalah sejak 2017 akan dibangunkan semula dan beroperasi selewat-lewatnya tahun hadapan.
Demikian penjelasan diberikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris kepada media dalam satu pertemuan yang diatur bersama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) semalam.
“Sekarang ada satu pengusaha (syarikat) yang sanggup membaik pulih dan kontrak perjanjian dimeterai berpandukan jumlah kos yang mereka gunakan, akan ditolak melalui sewa bulanan.
“Saya melihat pengusaha ini agak bagus dan kontrak perjanjiannya melangkau sehingga sembilan tahun (3+3+3) dan operasinya akan bermula pada Januari nanti, mungkin selepas enam bulan selepas proses renovasi dengan anggaran kos sekitar RM500,000,” katanya ketika ditemui sewaktu meninjau keadaan semasa restoran berkenaan, semalam.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu), Hilman Hajijan dan Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan dan Khidmat Pengurusan) YM Raja Faisal Raja Haron.
Jelasnya, Taman Panorama di Bukit Pak Apil merupakan lokasi orang berkunjung untuk menikmati keindahan bandar raya Kuala Terengganu, bukan makan semata-mata.
“Sebenarnya pihak kerajaan (negeri) dan MBKT tidak kilas siku (berselindung atau lepas tangan) dalam hal ini, sebabnya beberapa kontraktor terdahulu mempunyai kontrak di atas premis ini selama beberapa tahun, jadi kita tidak boleh hentikan kontrak (sedia ada) serta-merta.
“Bermula tahun 2017 lagi telah terdapat kerosakan dan kami mendapat laporan mengenai kontraktor yang tidak lagi mempunyai ‘ruh’ (keinginan) untuk menguruskan restoran ini.
“Apabila dia (kontraktor) tak mampu lagi, kerajaan negeri terpaksa menunggu sehingga kontrak tamat pada 2021 untuk menggantikannya dengan kontraktor (pengusaha) baru.
“Kemudian berlaku pandemik COVID-19 menyebabkan operasinya tergendala sehingga tahun 2022 dan 2023.
“Jadi, saya harap untuk kali ini MBKT benar-benar teliti melihat pengusaha, biar orang yang mempunyai jiwa mengusahakan restoran dan juga pelancongan, kalau tidak ia tidak akan menjadi kerana ia bukannya seperti berniaga gerai tepi jalan,” ujarnya.