KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan pelancaran buku ‘Permata Darul Iman’ 100 Tahun Sekolah Menengah Agama Arab Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-63 baginda, hari ini.
Berlangsung di sekolah berkenaan, keberangkatan tiba baginda diiringi Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka-paduka anakanda, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Utama Raja, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja serta YAM Tengku Puteri Daulath Raja.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Turut hadir, Yang Di-Pertua Persatuan Alumni Pelajar-pelajar SMAASZA, Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Yusoff Md Nor.
Mengenang perjalanan penubuhan SMAASZA oleh al-marhum Sultan Zainal Abidin ke-3, baginda bertitah agar kedaulatan negeri Terengganu sebagai negeri ‘islamiyyah’ (islamik) terus berkembang sebagai negeri yang yang dihormati.
“100 tahun perjalanan ini menuntut kita untuk bermuhasabah dan merangkakan wawasan yang lebih cemerlang demi masa hadapan. Pendidikan agama dan bahasa Arab adalah tunjang jati diri rakyat ini dari generasi ke generasi .
“Beta amat terharu mengenang keperibadian dan jasa besar moyang beta, al-marhum Sultan Zainal Abidin ke-3. Baginda bukan sekadar pemerintah tetapi juga pelita ilmu yang menyinari negeri ini dengan kebijaksaan, keadilan dan keprihatinan terhadap rakyat jelata.
“Menjadi legasi tauladan yang menyatukan kepimpinan ulama dan umarah sepanjang zaman, beta amat mencemburui tangkai kebajikan yang mengiringi tradisi ilmu alam melayu Islam nusantara di negeri beta ini.
“Moga ia terus berkembang demi kesejahteraan dan kedaulatan negeri Terengganu Darul Iman,” titah baginda sebelum menyempurnakan gimik perasmian buku ‘Permata Darul Iman’, pagi tadi.
Sultan Mizan berkenan meluangkan masa selama satu jam bersama rakyat jelata yang hadir dan meninjau pameran sejarah penubuhan sekolah itu di Dewan Fikri SMAASZA.
Majlis yang berlangsung di perkarangan SMAASZA sebentar tadi juga dimeriahkan dengan kehadiran daripada kalangan penjawat awam serta warga SMAASZA termasuk alumni lepasan sekolah agama tersebut.
Buku ‘Permata Darul Iman’ merupakan sebuah penerbitan istimewa yang merakamkan sejarah penubuhan, pencapaian dan peranan besar SMAASZA dalam pembangunan pendidikan agama dan sosial khususnya di negeri Terengganu.
Penulisan memperincikan salasilah institusi pengajian tahap menengah rendah dan atas tersebut merupakan hasil kajian, dokumentasi dan penghargaan kepada sumbangan institusi itu sepanjang satu abad yang lalu.