Home Berita PAS Terengganu

TIEP sedia sambut kejohanan sukan kuda bertaraf global

3
SHARE

SETIU – Terengganu International Endurance Park (TIEP) yang berkeluasan 47 hektar merupakan mercu tanda kebanggaan rakyat negeri ini dalam sukan kuda lasak.

Kini, TIEP lebih bersedia untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa serta menjadi tuan rumah kepada lebih banyak kejohanan sukan tersebut di peringkat global.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, TIEP telah berkembang menjadi sebuah pusat berkuda bertaraf antarabangsa yang turut menawarkan kemudahan lengkap untuk penganjuran acara seperti ‘show jumping’ dan ‘dressage’.

“Dua arena utama iaitu ‘warm-up’ dan ‘competition’ dilengkapi sistem penjurian moden dan mengikut piawaian antarabangsa.

“Clubhouse yang dirasmikan pada hari ini pula, bakal melengkapkan lagi kemudahan bertaraf antarabangsa di TIEP serta meningkatkan keselesaan para pelumba, pengiring dan pengunjung dari dalam dan luar negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan persembahan ucapan sempena Majlis Perasmian TIEP dan Club House Serta Penyampaian Hadiah Karnival Bidong Flora Fest (BFF) 2025, semalam.

Majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di TIEP itu disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang telah berkenan mencemar duli.

Mengulas lebih lanjut, Dr. Ahmad Samsuri berkata sehingga kini TIEP telah berjaya menjadi tuan rumah bagi 84 kejohanan di peringkat antarabangsa dan 30 kejohanan peringkat kebangsaan sejak 2004.

“Ia menjadi antara lokasi sukan berkuda paling aktif dan berprestij di rantau ini dan antara kejayaan paling membanggakan ialah penganjuran FEI World Endurance Championship 2008, selain menjadi lokasi acara kuda lasak sempena sukan SEA 2017.

“TIEP menyaksikan pencapaian membanggakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku merangkul pingat emas dalam cara individu 80km dan acara berpasukan,”ujarnya.

Tambah beliau, TIEP juga secara konsisten menganjurkan pelbagai acara tahunan berprestij pelbagai acara tahunan seperti Sultan Mizan Cup, Piala Yang Dipertuan Muda Terengganu, Piala YAB Menteri Besar Terengganu.

Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah berkenan mencemar duli merasmikan TIEP dan Clubhouse serta turut berkenan menyampaikan hadiah Karnival Bidong Flora Fest.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu; Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abdin.

Turut mengiringi, paduka anakanda Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja serta YAM Tengku Puteri Daulath Raja.