Home Berita PAS Terengganu

EPIC Marine jalin kepakaran teroka peluang sektor minyak

21
SHARE

KUALA TERENGGANU – Anak syarikat EPIC Berhad, Eastern Pacific Marine Services Sdn Bhd (EPIC Marine atau EPMS) menjalinkan kerjasama strategik bersama SINOPEC Heavy Lifting and Transportation Co., Ltd. (SINOPEC SLT) dan syarikat pelaburan Yayasan Sabah Group (YSG), Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) untuk meneroka serta mengambil bahagian dalam peluang-peluang sektor minyak dan gas huluan serta hiliran di Malaysia.

Melalui satu kenyataan dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Muhtar Suhaili memaklumkan, kerjasama itu bertujuan menggabungkan kepakaran teknikal, keupayaan operasi dan pengetahuan serantau yang dimiliki ketiga-tiga pihak bagi menyediakan penyelesaian berimpak dan berorientasikan nilai, sekaligus menyokong aspirasi pertumbuhan bersama dalam sektor berkaitan.

“Perjanjian kerjasama ini memfokuskan khususnya kepada penyampaian perkhidmatan Kejuruteraan, Persediaan, Penyingkiran dan Pemulihan secara bertanggungjawab untuk penyahtauliahan pelantar luar pesisir (Engineering, Preparation, Removal, & Remediation (EPRR) services for offshore decommissioning),” jelas kenyataan yang dikeluarkan di Facebook rasmi EPIC Berhad, hari ini.

Jalinan kerjasama tiga hala itu dimuktamadkan di Sabah International Convention Centre (SICC) oleh Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Haji Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, dan Naib Presiden SINOPEC SLT, Guo Zhong.

Muhtar Suhaili selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad turut menghadiri majlis menandatangani persefahaman itu bersama Pengurus Besar SINOPEC SLTYB, Liu Han dan Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya.