Home Berita PAS Terengganu

Jemaah haji perlu bawa ubat secukupnya ke Tanah Suci

6
SHARE

KUALA TERENGGANU – Jemaah haji dinasihatkan untuk membawa ubat penyakit kronik dalam jumlah mencukupi bagi keseluruhan tempoh berada di Tanah Suci kerana bekalan ubat tidak akan disambung di Mekah kecuali dalam keadaan sangat terdesak.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Amalan dan Perkembangan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Mohd Syafiq Yusof, ramai jemaah masih kurang faham mengenai polisi ubat kronik semasa mengerjakan Haji.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Amalan dan Perkembangan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Mohd Syafiq Yusof

“Panggilan untuk menunaikan Haji itu adalah selama 48 hari dan mungkin masa perjalanan serta transit akan memakan tempoh lebih lama. Masa yang perlu diambil kira bermula dari mula penerbangan di Terengganu sehinggalah penerbangan pulang ke Terengganu.

“Rawatan memang ada disediakan di sana – hospital medan, klinik maktab – tetapi ubat kronik tidak akan disambung kecuali kes sangat mendesak kerana dos, jenama atau kandungan mungkin tidak sama.

“Ini boleh menjejaskan keberkesanan rawatan,” katanya dalam program Bicara Jabatan Kerajaan terbitan TV Darul Iman, baru-baru ini.

Dalam pada itu, jemaah yang mempunyai alergi terhadap ubat-ubatan seperti penicillin digesa membawa kad alahan ubat berwarna kuning yang dibekalkan oleh Tabung Haji.

“Alergi ubat bukan perkara kecil. Ada jemaah yang hanya batuk ringan tetapi diberi ubat yang menyebabkan reaksi alahan kerana doktor tak tahu sejarah perubatan mereka.

“Ini boleh membawa kepada komplikasi yang serius maka kad ini penting untuk memaklumkan kepada doktor di Tanah Suci mengenai jenis ubat yang tidak boleh diambil oleh jemaah,” jelasnya.

Mengulas lebih lanjut, saranan untuk menyediakan ubat-ubatan asas lebih awal di tanah air sebelum berangkat ke Tanah Suci turut disebabkan kos ubat yang tinggi di Arab Saudi.

Katanya, walaupun farmasi mudah diakses di sekitar Masjidilharam, harganya sangat membebankan jemaah lebih-lebih lagi dalam keadaan ringgit yang lemah.

Antara ubat yang digalakkan untuk dibawa termasuk paracetamol, ubat selsema, tahan muntah, batuk, dan lozenges untuk melegakan tekak yang sering terganggu akibat cuaca panas dan kering di Tanah Suci.

“Bila kita pergi ke negara Arab Saudi ini, cuacanya panas dan kering. Kita tidak dapat lari daripada perubahan cuaca dan berkemungkinan untuk mengalami  masalah kesihatan.

“Sebagai contoh biasanya kita akan mengalami batuk-batuk oleh itu, ubat sakit tekak untuk melegakan tekak supaya batuk itu tidak berlarutan kerana jika dibiarkan ia mungkin berlarut dan boleh terkena jangkitan kuman,” ujarnya.

Dalam pada itu, Syafiq juga menyarankan agar para jemaah membawa ubat sapu atau krim pelembap kaki sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan kaki merekah atau luka akibat perjalanan jauh dalam cuaca panas di Tanah Suci.