Home Berita PAS Terengganu

SUK Terengganu rai Pegawai bersara dan bertukar

6
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri meraikan pegawai dan ketua jabatan yang telah bersara dan bertukar sepanjang tahun 2025 dalam suatu majlis penuh meriah, di sini hari ini.

Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Nara Setia berkata, majlis tersebut menandakan penghargaan kerajaan negeri terhadap mereka di atas sumbangan dan masa yang dihabiskan bersama dalam menempuh pelbagai cabaran sepanjang perkhidmatan.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri dan Perkhidmatan Awam Negeri Terengganu, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ketua-ketua Jabatan yang bertukar.

“Khidmat bakti tuan-tuan dan puan-puan sepanjang berada di negeri Terengganu tidak akan kami lupakan.

“Semestinya kehadiran tuan puan di negeri Terengganu ini telah menyumbangkan sebahagian daripada perancangan pembangunan negeri Terengganu dan telah memberikan manfaat kepada rakyat Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Meraikan Persaraan Dan Pertukaran Pegawai/Ketua Jabatan Peringkat Negeri Terengganu  Tahun 2025 di Hotel Paya Bunga, di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut seramai 13 orang Ketua Jabatan telah bersara dan lapan orang telah bertukar keluar dari negeri Terengganu sejak akhir 2024 hingga awal 2025 telah diraikan.

Dalam masa sama, Dato’ Nara Setia juga berkata pengalaman serta pengetahuan yang telah ditimba dan dikecapi sepanjang bergelar kakitangan awam patut dijadikan sebagai contoh kepada yang masih berkhidmat.