KUALA TERENGGANU – Para petugas parti (amilin) diingatkan agar terus istiqamah memikul amanah perjuangan yang diberikan parti tanpa rasa jemu atau ingin berundur.
Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT), YB Hajah Zuraida Md Noor, berkata setiap jawatan yang diberikan bukan sekadar tanggungjawab organisasi, tetapi merupakan amanah besar yang akan dipersoalkan di hadapan Allah kelak.
Katanya, perjuangan dalam jemaah Islam seperti PAS memerlukan kekuatan hati dan keikhlasan niat, terutama apabila berdepan dengan cabaran usia, kesihatan dan tekanan masyarakat.
“Jangan sesekali terlintas dalam hati untuk meninggalkan perjuangan hanya kerana sudah tua atau tidak sihat. Kita tidak tahu bagaimana kesudahan hidup kita. Hari ini kita beriman, belum tentu esok bagaimana.
“Apabila diberi amanah, jangan sekali-kali kita berfikir untuk lari daripadanya,” jelasnya.
Beliau yang juga ADUN Ladang, berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ramah Mesra Lajnah Penerangan Media Baharu Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu di Scout Inn, Teluk Ketapang, semalam.
Menurutnya, setiap perjuangan pasti akan ada pendokong dan penyokong seperti mana para nabi dan rasul yang juga memiliki pengikut, sama ada sedikit mahupun ramai.
Hakikatnya, perjuangan tidak akan pernah sunyi daripada cabaran, namun ia juga tidak pernah kekurangan insan yang setia menyambung amanah.
“Apabila kita menjadi amilin dalam perjuangan, kita wajib berusaha menghidupkan lajnah yang telah diamanahkan oleh parti.
“Kita yakin bahawa setiap jawatan itu adalah amanah, dan perjuangan ini adalah amanah. Memenangkan Islam adalah amanah, bahkan mempertahankan kemenangan Islam juga adalah amanah.
Oleh itu, tidak timbul isu pertukaran jawatan atau kedudukan. Selagi amanah itu berada pada kita, kita pikul dengan sebaiknya. Biarlah amanah ini menjadi saksi kita di hadapan Allah kelak – tanggungjawab di dunia, dan jawapan di akhirat,” ujarnya.
Zuraida turut menyeru kepada semua anggota jemaah untuk berpegang kepada empat prinsip utama dalam perjuangan, iaitu menyelamatkan akidah dan mendaulatkan Islam, memberi manfaat kepada diri sendiri melalui ilmu dan rezeki halal, memberi manfaat kepada masyarakat melalui penulisan dan ceramah.
Selain itu, menjaga kesihatan diri agar dapat terus menyumbang dalam gerak kerja parti.
Beliau turut menyentuh tentang cabaran yang dihadapi oleh wakil rakyat wanita yang sering menjadi perhatian masyarakat.
Justeru, perlunya kesungguhan dan ketelusan dalam setiap tindakan.
“Kita bukan sekadar mahu kekal memerintah, tetapi mahu melaksanakan dasar Islam dengan bersungguh-sungguh.
“Setiap lajnah dalam parti membawa pahala dan peluang untuk kita menyumbang kepada agama dan rakyat,” tambah beliau lagi.