Oleh : Daing Siti Norbaity Abd Latif
KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu terus memperkasa usahawan tempatan ke peringkat antarabangsa menerusi penyertaan Malaysia Fest Singapore 2025 yang akan berlangsung 31 Julai hingga 3 Ogos ini di Singapore Expo, Changi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, festival empat hari bertemakan ‘Explore the Unique Taste of Malaysia’ itu bakal membuka 321 booth pameran dengan sasaran lebih 160,000 pengunjung.
Menurut Ariffin, penyertaan tersebut merupakan peluang keemasan buat usahawan Terengganu memperluas jaringan eksport serta mengembangkan produk ke peringkat global.
“Saya amat yakin, penyertaan dalam festival ini akan membuka pintu kerjasama strategik antara usahawan Terengganu dan pengimport luar negara.
“Ia menjadi platform penting bagi memasarkan produk makanan, pertanian dan kraftangan Terengganu kepada pasaran luar negara, khususnya Singapura.
“Ini merupakan satu lonjakan besar ke arah menjadikan produk tempatan berkualiti global,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama wakil Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Terengganu dan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) bagi membincangkan strategi penyertaan negeri dalam festival berprestij itu di Pejabat YPU, baru-baru ini.
Katanya, YPU dan FAMA Terengganu menjadi agensi pemudah cara dalam mempersiapkan penyertaan usahawan ke festival berkenaan dengan penyaringan produk, latihan dan sokongan logistik.
Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri menerusi portfolio yang diterajuinya sentiasa memberikan komitmen dalam menyokong pembangunan ekosistem keusahawanan negeri melalui pelbagai program.
“Ia termasuk bimbingan, padanan perniagaan, pengiktirafan halal, pensijilan dan bantuan promosi luar negara,” ujarnya.