Home Berita PAS Pahang

Ketua Pemuda PAS Pahang terima anugerah Tokoh Pendidik Muda

42
SHARE

Oleh : KHAULAH AL AZWAR

KOTA SARANG SEMUT, 17 Mei – Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih Al-Hafiz, telah dinobatkan sebagai Tokoh Pendidik Muda sempena Program Himpunan Pendidik dan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025, berlangsung di Dewan Dato’ Hj. Fadzil Mohd Noor, di sini semalam.

Program anjuran Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah (HESA) dengan kerjasama pelbagai agensi pendidikan itu menghimpunkan ribuan pendidik dari seluruh Malaysia dengan objektif memperkukuh jaringan profesionalisme dan menyemarakkan semangat keguruan.

Ustaz Zarimi yang kini bertugas sebagai Mudir Maahad Tahfiz Al Istiqamah (MTIS), Temerloh, diberi pengiktirafan atas sumbangan luar biasa beliau dalam bidang pendidikan tahfiz dan dakwah.

Di bawah kepimpinan beliau, MTIS telah meraih pencapaian membanggakan seperti mendapat tempat ketiga dalam Anugerah Hafazan Terbaik Tahfiz Swasta Pahang 2024 dan kejayaan pelajar ke peringkat kebangsaan dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran.

Pemegang Diploma Pendidikan dari IPG Kuala Lipis ini merupakan graduan Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Darul Quran JAKIM, dan Maahad Qiraat Al-Azhar Shoubra Mesir

Sepanjang karier, beliau pernah berkhidmat di institusi pendidikan kerajaan dan swasta, antaranya Maahad Al Sultan Ahmad Shah Ad Dini, Jengka, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 5, Wangsa Maju serta Akademi Al Baghdadi, Gombak.

Beliau turut pernah menerima pelbagai anugerah termasuk Anugerah Guru Cemerlang dan Anugerah Khas Dewan Pemuda PAS Pahang pada 2016.

Anugerah ini mengiktiraf peranan beliau sebagai pendidik muda yang berdedikasi tinggi, berilmu dan komited dalam memartabatkan pendidikan Islam selaras dengan tema program, “Bersama Memartabatkan Pendidikan Islam”.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang turut menyampaikan beberapa anugerah penghargaan kepada tokoh-tokoh pendidik negara.