Home Berita PAS Terengganu

Pakar Perubatan sokong Kerajaan pasang papan tanda larang maksiat

10
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah menyambut baik inisiatif kerajaan negeri Terengganu yang memasang papan tanda larangan homoseksual dan maksiat di tempat-tempat awam di seluruh negeri ini.

Menurut beliau, langkah tersebut merupakan pendekatan pencegahan awal yang wajar dipuji kerana dapat membendung pelbagai bentuk tingkah laku tidak bermoral yang berpotensi menjejaskan kesihatan masyarakat dan meruntuhkan institusi kekeluargaan.

“Tindakan ini bukan soal menyekat hak asasi manusia seperti yang didakwa oleh segelintir pihak, termasuk beberapa peguam yang mempertikaikannya atas nama ‘kemanusiaan’.

“Hakikatnya, pencegahan awal seperti ini adalah juga hak masyarakat secara kolektif untuk hidup dalam persekitaran yang sihat dan bermaruah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dr. Suhazeli menegaskan, maksiat bukan sekadar isu moral tetapi turut berkait rapat dengan kesihatan awam.

“Apabila berlakunya gejala sosial dan perbuatan terkutuk seperti zina dan hubungan sejenis, ia boleh membawa kepada penularan penyakit kelamin, HIV dan pelbagai masalah kesihatan lain. Beban ini akhirnya akan ditanggung oleh seluruh masyarakat, bukan individu itu sahaja,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia membelanjakan jutaan ringgit setiap tahun untuk merawat penyakit-penyakit yang berpunca daripada keruntuhan akhlak dan amalan hidup bebas.

“Masyarakat mempunyai hak untuk menolak punca kerosakan ini dari awal. Pencegahan lebih murah dan lebih berkesan daripada rawatan,” tegasnya lagi.

Sebagai contoh, katanya, terdapat hotel-hotel tertentu yang tidak membenarkan pasangan bukan mahram menginap bersama, satu bentuk inisiatif kecil tetapi memberi impak besar dalam membendung salah laku moral.

“Ini bukan soal mengongkong, tetapi soal tanggungjawab sosial dan usaha bersama dalam menjaga kesucian masyarakat,” katanya.

Dr. Suhazeli turut menyeru agar lebih banyak pihak termasuk sektor swasta dan masyarakat sivil menyokong dasar-dasar mencegah maksiat yang digerakkan kerajaan negeri demi masa depan generasi akan datang.

Tegasnya, pihak yang mempertikaikan papan tanda larangan maksiat di Terengganu merupakan mereka yang berfikir mengikut kerangka pemikiran liberal yang menyamaratakan hak individu itu tidak boleh diganggu gugat.

“Sedangkan dalam norma negara Malaysia sudah pasti ada satu hak yang lebih penting, iaitu hak masyarakat mencegah sesuatu perkara yang mendatangkan kemudaratan.

“Sama ada mudarat itu terhadap masyarakat atau individu itu sendiri. Keburukan dan keroasakan akibat dari masalah norma dan sosial ini yang golongan seperti mereka tidak nampak.

“Memanglah kalau ikut acuan barat, semuanya tidak menjadi masalah tetapi kita mempunyai sosio-budaya dan agama yang kebanyakan masalah moral dan sosial ini boleh mendatangkan kemudaratan yang besar,” jelas beliau.