Home Berita PAS Terengganu

Perantau Jadi Penghubung Kerajaan Negeri Dengan Anak Terengganu

4
SHARE

TAWAU – Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU) memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan antara kerajaan negeri dan anak-anak Terengganu di perantauan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman berkata melalui platform tersebut, pelbagai pencapaian terkini kerajaan negeri dapat dikongsi secara telus.

Katanya, seperti Majlis Ramah Mesra Anak Terengganu yang diadakan setiap tahun menjadi salah satu bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat Terengganu bahawa mereka sentiasa dihargai walaupun berada jauh di seberang lautan.

“Majlis ramah mesra ini patut diadakan lebih kerap bagi mempereratkan lagi hubungan antara kita semua.

“Semoga ukhuwah ini terus mekar dan menjadi penghubung antara warga Terengganu di Sabah dengan tanah air tercinta,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi.

Terdahulu satu Majlis Ramah Mesra Anak Terengganu dan Warga KMI Tawau Medical Centre di Tawau telah dianjurkan baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut, beliau  turut meluangkan masa bersama warga  KMI Tawau Medical Centre sebagai menghargai jasa serta dedikasi mereka yang gigih berbakti dalam sektor kesihatan.

Tambahnya lagi, pujian perlu diberikan atas usaha Perantau mengadakan pelbagai program yang dapat mengumpulkan anak Terengganu sekali gus bertukar pendapat idea bagi perkembangan negeri kelahiran mereka.

Ariffin turut  memaklumkan berkenaan Pembiayaan Tabung Usahawan untuk anak Terengganu di perantauan yang menjalankan perusahaan atau perniagaan supaya merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan negeri.