Home Berita PAS Terengganu

Perkasakan Keahlian, Mantapkan Gerak Kerja PRU16

5
SHARE

MARANG – Muslimat PAS Marang menyahut seruan kepimpinan PAS Pusat untuk memperkasa keahlian melalui slogan ‘Keluargaku Ahli PAS’, dalam usaha untuk memantapkan gerak kerja Pilihan Raya Umum ke 16.

Ketuanya, To’ Puan Zarani Othmanberkata dengan Dewan Muslimat PAS Kawasan Marang (DMPKM) telah menggerakkan kempen keahlian bermula September 2024 hingga April 2025.

“Sasaran kempen tersebut ialah tiga ahli baharu bagi setiap cawangan daripada 111 cawangan seluruh kawasan Marang, bagi memastikan kelangsungan perjuangan dengan melahirkan pelapis generasi baharu.

“Sebagai galakan, DMPKM turut menganjurkan Pertandingan Pendaftaran Keahlian Teramai di peringkat Cawangan Muslimat, yang menyaksikan tiga cawangan terbaik diumumkan, Cawangan Bukit Katil, Cawangan Rhu Muda dan Cawangan Titian Baru,” jelasnya.

Beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Terengganu berkata demikian ketika berucap di Mesyuarat Agung Tahunan DMPKM kali ke-40 yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Marang, Kampung Paya di sini pada Sabtu 10 Mei.

Mengulas persiapan menghadapi PRU16 yang dijangka berlangsung pada 2026, beliau menekankan pelaksanaan penuh Gerak Kerja Teguh Memimpin Terengganu di semua peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

To’ Puan Zarani turut mengajak seluruh jentera turun ke Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (HTMT) pada hujung Mei ini, dengan sasaran 50,000 kehadiran sebagai simbol kesiapsiagaan muslimat dalam medan politik nasional.