KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) tampil mempertahankan usaha dakwah kerajaan negeri dengan menegaskan bahawa ia merupakan sebahagian daripada pendekatan dakwah dan pendidikan Islam yang telah lama diamalkan.
Menurut Ketuanya, To’ Puan Hajah Zarani Othman, laporan portal berita Free Malaysia Today bertarikh 8 Mei 2025 yang memetik sumber tidak dinamakan itu bersifat tidak bertanggungjawab dan cuba mempolemikkan usaha murni yang dilakukan kerajaan negeri Terengganu.
“DMPNT ingin menegaskan bahawa usaha menasihati masyarakat melalui papan tanda, poster atau papan kenyataan adalah sebahagian daripada wasilah dakwah yang telah lama diamalkan di Negeri Terengganu.
“Kami mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu yang konsisten mengangkat nilai-nilai Islam dalam pentadbiran, termasuklah dalam soal pendidikan masyarakat mengenai batas dan larangan syarak. Adalah tidak wajar usaha murni ini dijadikan polemik oleh pihak media yang tidak memahami roh sebenar pentadbiran Islam,” tegasnya.
Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Marang berkata demikian dalam kenyataan medianya, pada semalam.
Zarani turut menekankan bahawa kebebasan bersuara tidak seharusnya digunakan untuk menormalisasikan gaya hidup bertentangan dengan ajaran Islam, khususnya dalam konteks Terengganu yang menjadikan Islam sebagai dasar pentadbiran negeri.
“Menolak perbuatan songsang bukanlah satu bentuk kebencian, tetapi merupakan kewajipan agama demi memelihara maruah dan kesejahteraan ummah,” jelasnya.
Tambahnya, beliau turut mengkritik sikap segelintir media yang dilihat gemar memfokuskan isu kecil di Terengganu dan negeri-negeri SG4, tetapi jarang memperbesarkan isu lebih serius di negeri-negeri lain seperti kadar penyalahgunaan dadah yang lebih tinggi.
“Kami melihat ini sebagai satu sikap tidak adil dan mungkin mencerminkan agenda tertentu untuk meremehkan negeri yang memilih pendekatan Islam dalam pentadbiran,” kata beliau lagi.
Justeru itu, beliau menegaskan komitmen mereka untuk terus menyokong usaha dakwah dan pendidikan Islam di negeri itu, dan menyeru rakyat agar menilai sesuatu isu dengan adil tanpa terpengaruh dengan naratif berat sebelah yang dimainkan media tertentu.