Home Berita PAS Wilayah

PAS Titiwangsa Meriah dengan Rumah Terbuka Aidilfitri

6
SHARE

KUALA LUMPUR, 3 Mei 2025 – Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran PAS Titiwangsa yang berlangsung di Markaz Darul Ummah  disambut meriah dengan kehadiran ratusan pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian sempena Syawal.

Acara yang berlangsung dari jam 11 pagi hingga 3 petang itu dimeriahkan dengan kehadiran pimpinan parti termasuk Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya, Yang Dipertua PAS Titiwangsa, Ustaz Suhaimi Abdul Aziz, Timbalan YDP Hedzer Ibrahim, Naib YDP Ustaz Abdul Hadi Abdul Halim dan Ketua Muslimat PAS Titiwangsa, Sharifah Rashidah Sayed Idrus. Dato’ Iskandar Samad, Bendahari PAS Pusat juga hadir menyerikan majlis.

Dalam ucapannya, Ustaz Suhaimi Abdul Aziz menekankan kepentingan meraikan kemenangan Ramadan dengan semangat kebersamaan dan kasih sayang. “Sambutan seperti ini menjadi medium terbaik untuk kita merapatkan ukhuwah, bukan sahaja dalam kalangan ahli parti tetapi juga masyarakat umum. PAS Titiwangsa akan terus bersama rakyat,” katanya.

Pengarah Program, Azmer Syazwan turut mengalu-alukan kehadiran semua pengunjung dan menzahirkan rasa syukur atas sambutan yang luar biasa.

Majlis ini turut menampilkan pelbagai juadah istimewa. Menu utama ialah nasi putih bersama daging gulai kawah dan sayur campur. Tiga zon makanan khas disediakan berdasarkan kawasan – Keramat, Pandan dan Kampung Baru – yang menawarkan pelbagai hidangan tradisional seperti lemang dan nasi impit kuah kacang, mee bandung Muar, samosa, air balang pelbagai rasa serta buah-buahan segar.

Turut mencuri tumpuan ialah sesi pemberian duit raya kepada kanak-kanak, menambahkan lagi keceriaan suasana hari raya.

Ucapan turut disampaikan oleh pimpinan kawasan termasuk TYDP Hedzer Ibrahim, NYDP Ustaz Abdul Hadi Abdul Halim dan Ketua Muslimat Sharifah Rashidah Sayed Idrus, yang menyentuh kepentingan perpaduan, kekuatan institusi kekeluargaan dan peranan PAS dalam memperjuangkan kebajikan rakyat.

Dengan kehadiran yang ramai dan suasana penuh mesra, program ini nyata menjadi antara acara paling ‘happening’ sempena sambutan Aidilfitri di Titiwangsa tahun ini.