Home Berita PAS Terengganu

16 Pelajar Politeknik Dungun Terpilih Ke China

6
SHARE

Oleh : Nooreni Abu Bakar 

DUNGUN – Seramai 16 pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini terpilih menyertai Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) di Liuzhou, China.

Jurucakap Unit Komunikasi Korporat PSMZA berkata,  mereka merupakan sebahagian daripada 34 pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) yang diberi kepercayaan untuk menjalani latihan intensif industri bagi fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Kejayaan ini membuktikan kompetensi tinggi graduan POLYCC serta mengangkat martabat PSMZA yang bukan sahaja setanding, malah berjaya mengatasi IPT lain dalam pemilihan pelatih ke luar negara.

“Ini turut mencerminkan pengiktirafan industri terhadap sistem pendidikan TVET negara yang semakin diyakini dalam melahirkan tenaga kerja mahir berteknologi tinggi, ” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Pengarah PSMZA, Zamra Derahman meluahkan rasa bangga diatas pemilihan pelajarnya dalam kumpulan pertama melibatkan 102 pelatih yang akan memulakan latihan di China secara berperingkat bermula 15 Mei ini.

Menurut beliau, pemilihan ini mencerminkan keupayaan teknikal dan tahap kesediaan tinggi pelajar PSMZA, hasil dari latihan berasaskan industri serta sokongan fasiliti dan tenaga pengajar yang kompeten.

“Ia juga merupakan hasil hubungan baik dan kerjasama erat yang terjalin antara PSMZA dan pihak Malaysia Rail Link (MRL) sejak sekian lama, ” katanya.

Beliau turut melahirkan keyakinan, latihan selama setahun itu akan menjadi batu loncatan penting kepada para pelajar untuk menyumbang secara langsung dalam fasa pengoperasian ECRL yang dijangka bermula Januari 2027.