Oleh: Fatiha Mohamad
06 Mei 2025
Kinabatangan: “Alhamdulillah, Dapur Rakyat Lamag kini sudah masuk kali ketiga kita laksanakan, dan sambutan yang kita terima daripada penduduk sangat menggalakkan,” demikian ujar Ketua Muslimat PAS Kinabatangan, Shahirah Salasain ketika berucap dalam Program Dapur Rakyat Lamag 3.0 yang berlangsung kelmarin di Kampung Berjaya 2, Masjid Al-Hilal.
Menurut beliau, program ini bukan sekadar mengedarkan makanan tetapi menjadi ruang memperkukuh hubungan dalam komuniti dan menyemai semangat kebersamaan.
“Saya lihat sendiri bagaimana masyarakat kita berganding bahu ada yang membantu memasak, membungkus, mengangkut dan mengagih. Inilah semangat yang kita mahu kekalkan dalam masyarakat, iaitu semangat tolong-menolong tanpa mengira latar belakang,” ujarnya lagi.
Dalam program kali ini, sebanyak 350 pek berobbok telah berjaya diedarkan kepada penduduk dari rumah ke rumah.
“Insya-Allah, kita akan teruskan program seperti ini bukan hanya di sini tetapi di seluruh kawasan Lamag dengan semangat kebajikan dan kasih sayang,” tambah beliau.
Shahirah turut memaklumkan bahawa selain edaran makanan, turut diadakan Bacaan Tahlil Sekampung serta penyerahan Bakul Makanan Lamag kepada golongan yang memerlukan.
Beliau mengakhiri ucapannya dengan menyeru masyarakat agar terus menyokong program-program kebajikan yang menjadi medan perpaduan dan rahmat buat semua.