Home Berita PAS Terengganu

RTB Tebing Tembah Bantu Lebih 600 Rakyat Miliki Tanah

8
SHARE

KUALA TERENGGANU – Projek tanaman Kelapa Pandan di Kampung (Kg) Tebing Tembah yang dirancang sejak 2008 kini berubah haluan apabila kerajaan negeri memutuskan untuk membangunkan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) tapak rumah demi keutamaan generasi muda.

Langkah ini dilihat lebih praktikal dan mampu membuka ruang kepada hampir 600 pemohon memiliki rumah sendiri, berbanding meneruskan projek pertanian yang tidak lagi relevan dengan keperluan semasa dan hanya memberi ‘keuntungan’ kepada 96 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, projek tanaman Kelapa Pandan di tanah milik kerajaan itu sebelum ini melibatkan kawasan seluas 96 ekar dengan rancangan pemberian sekitar satu ekar seorang kepada 96 penduduk Kg Tebing Tembah.

“Pada tahun 2019, satu kertas kerja telah dibawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah.

“Namun, permohonan tersebut ditangguhkan setelah mengambil kira lokasi tanah yang sangat strategik, berada di tengah kampung serta bersebelahan SMK Dato’ Engku Bijaya Sura dan masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Wisma Darul Iman, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata keperluan semasa lebih mendesak kepada penyediaan tapak rumah.

“Kita dapati ramai daripada 96 pemohon asal sudah berusia dan ada yang telah memiliki tanah di lokasi lain seperti Kg. Paya Rengit dan Kg. Cerung Melintang.

“Sebaliknya, lebih 660 anak muda telah memohon untuk memiliki tapak rumah di kawasan ini,” ujar beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu turut menegaskan bahawa keputusan menukar projek itu kepada RTB tapak rumah dibuat berdasarkan realiti kehidupan hari ini.

“Mungkin pokok kelapa pandan masih boleh digunakan buat sementara waktu, tetapi untuk masa depan, tapak rumah lebih penting dan mampu menyelesaikan keperluan hampir 600 orang,” jelasnya.

Beliau turut menarik perhatian kepada kegagalan projek pertanian di kampungnya sendiri, Kampung Pinang Merah, sebagai pengajaran penting.

“Ini juga pernah berlaku di kampung saya sendiri. Rancangan tanaman mempelam seluas kira-kira 100 ekar dibahagikan kepada peserta, seorang satu ekar.

“Tapi sampai sekarang, pokok mempelam pun tidak kelihatan. Sebahagian pula sudah menjual tanah tersebut.

“Kita tidak mahu kesilapan sama berulang, tanah ini mesti beri manfaat sebenar kepada generasi akan datang,” tegasnya.