KUALA TERENGGANU – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya memudahcara pelaburan komited berjumlah RM1 bilion di Terengganu setakat suku pertama tahun 2025.
ECERDC dalam kenyataan hari ini berkata, angka itu mewakili 43 peratus daripada sasaran pelaburan sebanyak RM2.4 bilion yang ditetapkan untuk negeri tersebut tahun ini.
Menurut ECERDC, sebahagian besar daripada pelaburan itu didorong oleh sektor pelancongan, yang mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai hab strategik untuk inisiatif pelancongan bernilai tinggi.
Selain pelancongan, pelaburan tersebut turut merangkumi sektor utama lain seperti pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.
Ia sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi pelabur terhadap kepelbagaian ekonomi dan potensi pembangunan negeri tersebut.
“Pelaburan komited ini mewakili sebuah langkah penting dalam transformasi pelancongan dan pertanian di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
“Antara projek di bawah pelaburan komited ini termasuklah ladang solar fotovoltaik berkapasiti 60MW yang telah diintegrasikan dengan projek pertanian, fasiliti pemprosesan Ammonium Paratungstate, serta pusat pengumpulan dan rawatan sisa.
“Projek lain yang sedang dilaksanakan adalah ladang tenusu yang disokong oleh penanaman rumput napier dan sistem biodigester, serta fasiliti pengeluaran Calcined Kaolin,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan yang sama berkata, setakat Mac 2025, pelaburan yang telah direalisasikan di Terengganu mencecah RM729.7 juta dan berjaya mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu.
Beliau berkata negeri ini terus meletakkan kedudukannya sebagai destinasi strategik untuk pelabur selain disokong oleh kerjasama erat antara kerajaan negeri, ECERDC dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Sektor pembuatan kekal sebagai pemacu utama diikuti oleh pelancongan, pertanian dan perkhidmatan.
“Kami komited untuk memajukan inovasi serta pertumbuhan mampan di seluruh sektor utama dari pertanian sehingga pembuatan berteknologi tinggi bagi mewujudkan pekerjaan berkualiti, merangsang kemajuan ekonomi jangka panjang dan mengukuhkan asas ekonomi negeri,” katanya.