Home Berita PAS Terengganu

Terengganu Haram Vape demi lindungi generasi masa depan

14
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu mengambil langkah berani dan tegas apabila mengumumkan pengharaman penuh terhadap penjualan serta penajaan vape bermula 1 Ogos 2025, sebagai usaha memelihara masa depan generasi muda daripada ancaman kesihatan yang semakin membimbangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan bahawa kerajaan negeri beriltizam menjaga nyawa, akal dan keturunan rakyat sebagaimana yang digariskan dalam Maqasid al-Syariah.

“Kita wajib mencegah kemudaratan sebelum ia menghancurkan.

“Langkah pengharaman ini bukan bertujuan menyusahkan rakyat, tetapi sebagai rahmat untuk jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu Kenyataan Media di laman sosial rasmi beliau hari ini.

Beliau menambah bahawa keputusan ini berpandukan prinsip Islam yang menuntut umatnya menghindari kebinasaan, selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 serta sabda Nabi Muhammad SAW mengenai larangan melakukan kemudaratan.

“Mencegah lebih utama daripada mengubati,” jelasnya, memetik ayat Al-Quran dan hadis sebagai teras kepada dasar yang digariskan ini.

Tambah Khalil, menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setakat 30 September 2024, sebanyak 41 kes kecederaan paru-paru berkaitan penggunaan vape (EVALI) telah dilaporkan, dengan kos rawatan dianggarkan mencecah RM150,892.11 bagi setiap pesakit.

“Tanpa pencegahan tegas, kos rawatan boleh melonjak kepada RM368 juta setahun menjelang 2030,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama, beliau turut berkongsi keprihatinan terhadap laporan peningkatan kes komplikasi serius seperti halusinasi dan kebocoran paru-paru dalam kalangan remaja akibat penggunaan vape secara tidak terkawal.

“Apakah kita mahu terus membiarkan racun ini berlegar bebas di tangan anak-anak kita?” soalnya.

Mengakhiri kenyataan, beliau menyeru seluruh lapisan masyarakat, termasuk ibu bapa, pendidik dan NGO, untuk bersama-sama mendukung usaha murni ini demi kebaikan ummah dan negeri tercinta.

“Marilah kita berganding bahu untuk memastikan masa depan yang lebih sihat dan sejahtera untuk semua,” ujarnya.