DUNGUN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin hari ini berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang peguam, Zulqarnain Lukman, berikutan tuduhan liar yang mengaitkannya dengan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Dr Tengku Muhammad Fakhruddin, tuduhan tersebut disifatkan sebagai sangat berat, tidak berasas, bersifat jahat dan berunsur niat buruk (mala fide).
“Zulqarnain Lukman secara terbuka telah mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan seolah-olah saya menghasut rakyat untuk mengurangkan kepercayaan terhadap institusi Raja-Raja Melayu. Sedangkan kenyataan asal saya langsung tidak menyentuh, apatah lagi menghina mana-mana Raja atau institusi DiRaja,” tegas beliau dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Dr Tengku Muhammad turut menyatakan bahawa tuduhan tersebut mencemar reputasinya sebagai wakil rakyat, selain cuba mencetuskan persepsi buruk dan fitnah ke atas dirinya secara peribadi dan politik.
“Saya kini sedang mengambil langkah undang-undang terhadap Zulqarnain Lukman atas kenyataan liar ini. Jangan gunakan gelaran ‘pakar perlembagaan’ untuk membuat tuduhan sewenang-wenangnya dan membawa persepsi jahat kepada sesiapa,” tambahnya.
Beliau juga menegaskan bahawa semua pihak bertanggungjawab memelihara institusi Raja-Raja Melayu, tetapi menfitnah sesama rakyat atas nama mempertahan institusi Raja jelas merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab.
“Saya akan terus bercakap tentang kebenaran dan keadilan untuk rakyat. Saya tidak akan tunduk kepada taktik ugutan fitnah seperti ini,” katanya.
Terdahulu, kenyataan Zulqarnain diterbitkan dalam portal berita Malaysiakini bertajuk ‘ADUN Sura didakwa hasut rakyat kurangkan kepercayaan pada Agong’ yang disiarkan pada jam 4.00 petang, semalam.
Zulqarnain di halaman Facebook peribadinya hari ini pula, dilihat seakan-akan menyambut baik hasrat Dr. Fakhruddin dengan hantaran ‘Orang menjual kita membeli’.