Home Berita PAS Terengganu

Sultan Mizan Sokong Penuh Usaha Kerajaan Negeri Perkasa Syariah

3
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyokong penuh usaha kerajaan negeri dalam memperkasa syariah di negeri terbabit.

Sehubungan dengan itu, Baginda menyeru kerajaan negeri agar terus memberi penekanan kepada pemerkasaan syariah sebagai salah satu agenda utama di Terengganu.

Baginda menzahirkan sokongan terhadap inisiatif tersebut yang meliputi pemantapan undang-undang, pemerkayaan ilmu serta penambahbaikan fasiliti agar selaras dengan keperluan dan perkembangan semasa.

“Sehubungan itu, bagi memastikan peluang keadilan yang setara serta memperkasakan bidang kuasa dan fungsi kehakiman syariah yang merupakan bidang kuasa eksklusif negeri, struktur sistem kehakiman Mahkamah Syariah Terengganu akan ditambah baik.

“Daripada tiga peringkat sedia ada, sistem ini akan diperluaskan kepada empat peringkat kehakiman dengan penubuhan sebuah Mahkamah Tertinggi yang dinamakan sebagai Mahkamah Utama Syariah.

“Penambahbaikan itu akan memberi ruang kepada sistem perundangan syariah yang lebih berkesan dan berintegriti, sekali gus menjamin keadilan serta kesejahteraan rakyat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian di Istiadat Pengurniaan Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Hari Keputeraan Sultan Terengganu di Istana Syarqiyyah di sini, hari ini.

Sultan Mizan  juga menzahirkan harapan agar perancangan pembinaan Mahkamah Syariah di Kemaman dan Setiu dapat dilaksanakan dengan segera demi menjamin kelancaran urusan perundangan serta memberikan kemudahan yang lebih baik kepada rakyat.

Baginda juga menyeru agar pentadbiran negeri terus diperkasa bagi memastikan kemajuan berkekalan dan hasil negeri dapat ditingkatkan secara mampan.

Titah baginda, pegawai yang berkaliber bukan sahaja mampu melaksanakan tanggungjawab dengan cekap, malah berkeupayaan mengenal pasti peluang-peluang baharu bagi menjana pendapatan kepada negeri.

“Beta yakin bahawa pegawai yang cekap, berilmu dan berkemahiran tinggi mampu melaksanakan tugas dengan penuh berkesan.

“Ia termasuk dalam merancang strategi kutipan hasil, mengurus sumber negeri secara optimum serta memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan dengan tegas dan saksama, “titah baginda.