Home Berita PAS Terengganu

Emy Niar pecah dominasi lelaki, menyadat nira

10
SHARE

HULU TERENGGANU – Emy Niar Zurkanai, 33, ibu muda kepada tiga anak, membuktikan bahawa wanita juga mampu memecah tradisi apabila dia menjadi satu-satunya wanita tukang sadat nira di Kampung Durian Kassim, Hulu Terengganu.

Kebolehan tersebut sekaligus menangkis stigma bahawa pekerjaan itu hanya sesuai untuk lelaki.

Keinginan untuk membantu suami dalam memenuhi keperluan keluarga mendorong Emy Niar untuk mencuba sesuatu yang baru – menyadat nira.

Walaupun kerja ini lebih sering dianggap tugas lelaki, dia tidak berputus asa dan mempelajari teknik-teknik penting untuk menjadi tukang sadat nira yang mahir.

“Saya mula-mula ragu-ragu, tetapi demi keluarga, saya tekad untuk mendalami bidang ini. Saya percaya wanita juga mampu berjaya dalam pekerjaan yang menuntut kekuatan fizikal dan ketekunan,” katanya penuh semangat.

Meskipun kerja menyadat memerlukan keberanian tinggi serta risiko keselamatan, Emy Niar tidak gentar.

Dengan bantuan suami yang berpengalaman, ibu mudah itu mempelajari teknik memanjat, menyadat dan menguruskan air nira yang mudah rosak sekiranya tidak dikendalikan dengan betul.

“Mula-mula memang rasa takut, terutama ketika perlu berdiri di atas tangga dengan keadaan tanah yang tidak sekata, tetapi saya percaya dengan latihan dan berhati-hati, semua orang boleh melakukannya.

“Pada peringkat awal penglibatannya, Emy Niar mengakui sering menerima keraguan mengenai kemampuan seorang wanita untuk melakukan kerja-kerja berat ini. Namun, sejak kecil, Emy Niar memang seorang yang lasak, jadi dia tidak mudah patah semangat.

“Ada yang mempertikaikan kemampuan saya sebagai wanita untuk melakukan kerja kasar seperti ini. Namun, saya abaikan sahaja. Saya percaya, dengan usaha dan niat yang ikhlas, segala cabaran boleh diatasi,” tambahnya.

Setiap hari, Emy Niar akan memanjat antara 20 hingga 25 batang pokok kelapa bermula seawal 8 pagi.

Menurutnya, kerja menyadat bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal, malah ketelitian dalam menjaga kualiti nira.

“Kalau lambat kutip, nira akan menjadi masam. Kalau tidak bersih, orang tidak mahu beli. Jadi saya jaga semua itu sebaik mungkin,” jelasnya.

Selain menjual nira segar, Emy Niar turut menghasilkan produk hiliran berasaskan nira seperti kopi nisan dan nisan nira, yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan tetap dan pengunjung luar kawasan.

Usaha gigih Emy Niar nyata membuahkan hasil lumayan apabila beliau dan suami kini mampu memperoleh pendapatan sekitar RM18,000 sebulan, dan angka itu boleh mencecah RM30,000 sebulan pada bulan Ramadan berikutan peningkatan permintaan terhadap produk nira.

Kini, hasil titik peluhnya bukan sahaja menjana pendapatan yang stabil, malah turut membuka mata penduduk setempat bahawa wanita juga berupaya memikul tanggungjawab berat dalam bidang kerja tradisi.

Emy Niar kini menjadi lambang kekuatan wanita luar bandar, membawa inspirasi bahawa semangat tidak mengenal batasan jantina mahupun tradisi. Beliau yakin bahawa dengan usaha dan semangat, tiada pekerjaan yang mustahil untuk wanita.

Pesanannya kepada golongan muda, terutamanya wanita, adalah agar tidak malu untuk menceburi bidang ini.

“Selain memberi sumbangan kepada warisan tradisi, ia juga menawarkan potensi pendapatan yang lumayan jika dilakukan dengan penuh komitmen dan usaha,” jelasnya.

Dengan keyakinan itu, Emy Niar berharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk menceburi bidang penyadatan nira, memastikan warisan ini terus hidup dan berkembang.

“Saya mahu buktikan bahawa tidak ada halangan bagi wanita untuk berjaya dalam bidang ini,” katanya penuh yakin.