Home Berita PAS Terengganu

Generasi pertama SMIDI Dungun catat GPS 2.50 SPM 2024

5
SHARE

DUNGUN- ‘Anak sulung’ Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) iaitu Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) Dungun, mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.50 dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2024.

Daripada 49 pelajar, tiga daripadanya memperoleh 10A, empat pelajar 9A, enam (8A), lima memperoleh 7A dan lapan orang meraih 6A.

Lebih menarik lagi, SMIDI itu turut meraih kedudukan pertama di daerah Dungun dalam subjek Prinsip Perakaunan dengan 0.33 pointer.

Timbalan Pengarah Akademik JPINT yang juga merupakan mantan pengetua SMIDI, Rosdi Mat Rani berkata, pencapaian diraih oleh kelompok pertama SPM itu merupakan penanda aras yang baik yang ditetapkan di sekolah berkenaan.

“Alhamdulillah, saya sasarkan GPD 3.0 pada asalnya dan penilaian yang telah dibuat menyasarkan GPS 1.8.

“Mungkin ada kekurangan sana sini yang akan disemak semula, tetapi dengan GPS 2.5 ini untuk pertama kali, Alhamdulillah ia akan menjadi penanda aras bagi kelompok pelajar seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Slip Peperiksaan SPM kepada pelajar terlibat di SMIDI Dungun, semalam.

Dalam pada itu, Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Hanafiah Mat yang turut hadir dalam majlis berkenaan, amat berpuas hati dengan keputusan tersebut.

“Hari ini, cerita-cerita kejayaan sangat banyak. Saya ucapkan syabas kepada semua yang terlibat iaitu guru-guru dan PIBG yang menjadikan sekolah ini terbaik.

“Inilah yang sangat menggembirakan saya, saya sangat berpuas hati dengan ‘benchmark’ yang dihasilkan dan berharap pada tahun hadapan akan lebih baik lagi.

“Peranan ibu bapa sangat baik, mereka setiap malam membaca Yassin sewaktu musim peperiksaan dan apabila kita minta bantuan, mereka sangat ‘sporting’,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai menyifatkan, kerjasama yang dibina antara PIBG dan guru-guru merupakan kunci dalam memastikan harapan kerajaan Terengganu untuk melihat sebuah sekolah agama kendalian kerajaan negeri mencapai kejayaan memberangsangkan walaupun masih diperingkat awal.