KUALA NERUS – Kesungguhan kerajaan negeri dalam menyediakan laluan pendidikan terbaik kepada pelajar cemerlang terus dizahirkan apabila sejumlah RM19 juta diperuntukkan tahun ini menerusi skim biasiswa dan pinjaman pendidikan termasuk bidang pengajian Islam, sains serta kemahiran.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, skim pelajar cemerlang (SPC) yang dimulakan sejak tahun 2018 kekal menyediakan RM5 juta setahun untuk biasiswa penuh dalam dan luar negara.
“Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM13 juta untuk skim pinjaman pendidikan kepada pelajar yang layak termasuk yang memilih bidang kemahiran,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Imtiaz ke-15, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini semalam.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu lagi inisiatif baharu tahun ini ialah pemberian biasiswa tambahan sebanyak RM1 juta melalui kerjasama Yayasan Terengganu dan Terengganu Incorporated (TI) khusus bagi bidang pengajian terpilih.
“Kita dalam perbincangan untuk menambah lagi jumlah biasiswa sedia ada kerana bilangan pelajar cemerlang semakin meningkat dan kita tidak mahu bakat mereka terbiar begitu sahaja,” ujar beliau.
Dalam majlis itu, beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri kekal menghantar pelajar ke luar negara termasuk 20 orang ke Algeria, 20 ke Tunisia (Universiti Zaituna), dan beberapa lagi ke Cape Town, Jordan, Mesir, serta negara-negara Arab lain.
“Tahun ini kita juga buka peluang baharu ke Iraq, dengan 5 tempat dalam bidang pergigian dan 20 tempat untuk pengajian Islam di Universiti Baghdad dan Universiti Mosul,” katanya lagi.
Satiful turut menyeru agar pelajar bersiap sedia dari segi kemahiran bahasa dan sahsiah kerana sesetengah universiti luar melakukan temu duga terus sebelum menerima kemasukan.
“Kemampuan berbahasa Arab dan Inggeris sangat penting, kerana Cape Town contohnya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar,” jelasnya.