KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu mengiktiraf kejayaan 130 pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran tahun ini.
Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Satiful Bahari Mamat berkata, ia adalah pencapaian luar biasa yang membuktikan ketekunan, disiplin dan kekuatan rohani generas Darul Iman.
Menurutnya, penghargaan ini adalah pengiktirafan terhadap usaha gigih pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, sekaligus melayakkan mereka menerima insentif khas RM1,000 seorang daripada kerajaan negeri.
“Sebagai penghargaan atas usaha murni ini, setiap pelajar yang khatam 30 juzuk al-Quran akan menerima insentif anugerah hafazan daripada kerajaan negeri sebanyak RM1,000 seorang,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Al-Quran, Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, kali ke-15 tahun 2025, di Kuala Nerus semalam.
Tambah beliau, gelaran hafiz dan hafizah adalah amanah besar yang wajib dijaga, bukan hanya untuk diumumkan dan dilupakan, tetapi perlu dipelihara sepanjang hayat sebagai warisan ilmu dan tanggungjawab terhadap umat.
“Ingatlah, ia merupakan satu amanah, bebanan yang ditinggalkan oleh Allah dan Rasulullah dan menjadi kebanggaan kita semua,” ujar beliau.
Kata Satiful, seramai 384 pelajar Tingkatan Lima dan 16 pelajar Tingkatan Enam bergraduasi pada majlis tersebut, termasuk 70 pelajar yang menerima pelbagai anugerah khas atas kecemerlangan akademik dan sahsiah, antaranya Tokoh Ulul Albab dan Anugerah Pelajar Terbaik.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para guru yang menjadi tulang belakang kejayaan ini, serta ibu bapa yang mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan sokongan.
“Tanpa keikhlasan para pendidik, mustahil pencapaian ini dapat dikecapi dan sesungguhnya Allah mengangkat darjat orang yang berilmu beberapa tingkat lebih tinggi,” ujarnya.