Oleh: KASDI KOSMIN
INDERA MAHKOTA – Semangat Aidilfitri yang membawa mesej kemaafan, kasih sayang dan perpaduan antara kaum jelas terpancar dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Semambu yang berlangsung meriah di Bukit Setongkol di sini semalam.
Ahli Dewan Negeri Beserah, YB Dato’ Andansura Rabu dalam ucapannya menyifatkan kejayaan penganjuran majlis ini sebagai hasil titik peluh dan pengorbanan semua pihak yang terlibat.
“Kejayaan majlis ini adalah hasil daripada titik peluh, pengorbanan masa, tenaga dan wang oleh semua yang terlibat. Ia membuktikan kesungguhan serta semangat kebersamaan seluruh petugas dan sukarelawan yang bertungkus lumus menjayakan program ini. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas segala jasa dan usaha yang dicurahkan,” ujar beliau.
Pengarah Program, Mohd Rahimi Roslan yang juga Pengarah Pilihan Raya DUN Semambu turut menzahirkan rasa syukur atas sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat.
Beliau menyifatkan kehadiran ramai sebagai petanda positif terhadap sokongan rakyat kepada PAS/PN serta bukti bahawa komitmen berterusan dalam memperjuangkan kebajikan dan keprihatinan masyarakat mampu meraih kepercayaan rakyat.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Bahagian BERSATU Indera Mahkota YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Ketua Bahagian Gerakan Indera Mahkota Chan Chee How serta Penyelaras DUN Semambu Ustaz Zulfadli Zakariah.