Home Berita PAS Terengganu

Kelapa : Pekebun Kejar Untung, Santan Negara Terancam

12
SHARE

KUALA TERENGGANU – Harga kelapa muda yang melonjak tinggi mendorong pekebun memilih jalan pintas untuk meraih keuntungan segera, namun tindakan ini menjejaskan bekalan kelapa tua negara dan mengancam industri santan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, permintaan terhadap kelapa muda kini begitu tinggi sehingga menyebabkan pengeluaran kelapa tua merosot dengan ketara di pasaran.

“Sebiji kelapa muda boleh dijual sehingga RM4.50, manakala kelapa tua pula sekadar RM2.50 dan semakin murah jika disimpan,” katanya semasa sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih di Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Kelima Belas di Wisma Darul Iman, baru-bari ini.

Menurut beliau, ketidakseimbangan harga ini telah mendorong pekebun lebih berminat menjual kelapa muda kerana pulangannya jauh lebih lumayan berbanding kelapa tua yang digunakan dalam pemprosesan santan.

“Inilah sebabnya kelapa muda jadi pilihan utama pekebun.

“Mereka kejar untung cepat, tapi kita sedang hadapi kekurangan bahan asas untuk makanan rakyat,” keluhnya.

Jelasnya lagi, keadaan ini diburukkan dengan fenomena perubahan iklim yang menyebabkan ‘kepupusan mayang’, iaitu kegagalan pokok kelapa berbunga antara Jun hingga September tahun lalu.

“Tiada mayang maka tiadalah buah.

“Fenomena ini telah menjejaskan hasil kelapa tua secara drastik,” kata beliau.

ADUN Jabi itu turut mengakui bahawa walaupun Tahap Sara Diri (SSR) bagi kelapa menunjukkan peningkatan dari 53 peratus pada 2019 kepada 74 peratus pada tahun 2023, ia belum cukup untuk menampung permintaan sekiranya trend ini berterusan.

“Cadangan pembukaan ladang kelapa oleh ADUN Kuala Besut adalah satu langkah tepat dan perlu dilaksanakan segera,” ujarnya.