Home Berita PAS Terengganu

Hamzah Sahkan Dikawal TCO, Dakwa Polis Arah Tarik Balik

12
SHARE

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini memaklumkan bahawa kawalan Perjalanan  (TCO) yang dikenakan kepadanya bagi perjalanan baru-baru ini telah ditarik balik.

”Saya baru sahaja kembali dari luar negara atas urusan rasmi. Saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Negara yang telah mengarahkan semua TCO ditarik balik.

“Saya telah dimaklumkan oleh pegawai yang bertugas di imigresen sebelum berlepas,” katanya dalam Facebook rasminya sebentar tadi.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Larut itu berkata, isu yang dibangkitkan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dua minggu turut dihadapi oleh beliau

”Saya ingin memaklumkan bahawa saya juga mengalaminya sejak tahun lepas.

“Namun, apabila YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kata beliau pun ada dalam senarai TCO ia amat mengejutkan saya.

“Maka bagi pihak rakyat, saya mohon kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) jangan sesekali lakukan ini ke atas Perdana Menteri, kerana beliau bukan penjenayah dan bukan anti kerajaan,” tegasnya.

Hamzah Zainuddin.

Sebelum ini, Ahmad Samsuri mengatakan beliau telah dilabel dan ditandai sebagai ‘TCO’ dalam sistem kawalan sempadan oleh satu pihak cawangan khusus sejak pertengahan tahun 2024.

Katanya, cara tersebut membuatkan beliau seolah-olah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan satu sindiket dan gangster, atau persona non grata di tanah air sendiri.

Ahmad Samsuri berkata beliau sangat kecewa dengan keadaan tersebut.

“Ia bukan sekadar label, tetapi saya ‘ditahan’ dan dibawa ke tepi, satu panggilan akan dibuat dan perlu mendapat persetujuan satu cawangan khusus sebelum dibenarkan keluar dari kawalan sempadan, untuk setiap kali keluar-masuk sempadan, walaupun sekadar ke Sabah dan Sarawak sejak suku ketiga tahun 2024.

“Ke mana saya pergi, siapa yang saya temui, dan apa yang saya perbualkan, semuanya menjadi perhatian pihak tertentu dan perlu dilaporkan oleh satu cawangan khusus kepada pihak political master atau operator utamanya.

“Inilah realiti harian yang saya hadapi. Dengan perkembangan teknologi canggih hari ini, mereka mungkin juga cuba mengetahui isi perbualan saya dengan individu tertentu, terutama pimpinan politik.

“Adakah telefon saya dipintas? Sudah tentu, 100 peratus,” katanya.