Home Berita PAS Terengganu

RM10 Juta Fokus Pelancongan Berasaskan Ekonomi Rakyat

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Peruntukan sebanyak RM10 juta disalurkan bagi membangunkan fasiliti, infrastruktur serta mempromosikan destinasi pelancongan berasaskan komuniti Community-Based Tourism, (CBT) di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pendekatan diambil kerajaan negeri adalah untuk memastikan setiap projek yang dilaksanakan benar-benar memberi pulangan ekonomi dan sosial kepada rakyat.

Menurutnya, sebahagian daripada dana ini telah disalurkan ke Hulu Terengganu bagi melaksanakan beberapa projek infrastruktur berskala kecil tetapi memberi impak besar kepada pelancong dan penduduk setempat.

“Beberapa inisiatif telah dan sedang dilaksanakan untuk menyokong penggiat CBT di kawasan ini, antaranya bantuan kewangan dan insentif.

“Antara projek yang telah diluluskan termasuk pembinaan kemudahan tandas, wakaf dan pencahayaan di CBT Kalang Rengas dengan peruntukan sebanyak RM50,000, manakala CBT Lubuk Bayas (Little Amazon, Kampung Menerong Ajil) dan CBT Bukit Jalin, Kampung Lebok Kuala masing-masing menerima RM20,000 bagi kerja-kerja pembinaan tandas.

“Di Kampung Jenagor Seberang, sebuah dewan terbuka bagi persembahan budaya turut dibangunkan dengan kos RM20,000, bagi menyokong aktiviti pelancongan budaya dan warisan tempatan,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian semasa sesi soalan lisan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Razali turut menambah bahawa kerajaan negeri turut melaksanakan latihan berkaitan hospitaliti, pemasaran digital dan pengurusan eko pelancongan kepada penggiat CBT agar mereka lebih bersedia bersaing dan menarik minat pelancong tempatan serta antarabangsa.